Ahad, 1 Mei 2016

Buruh asing, peluang kerja dan eksploitasi KWSP bukti BN bersandiwara

ARIF ATAN


Kerajaan belum beri perhatian cukup untuk kebajikan pekerjaKerajaan belum beri perhatian cukup untuk kebajikan pekerjaSlogan rakyat didahulukan hanyalah satu skrip dongeng sandiwara kerajaan Barisan Nasioan (BN) jika kerajaan gagal menjaga kebajikan rakyat terutama dalam isu-isu berkaitan pekerjaan, tegas Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil.

Menurutnya, pemantauan dan tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil bagi mengekang eksploitasi majikan terhadap hak-hak pekerja.

Hal ini, ujarnya, termasuklah tunggakan dan kelewatan bayaran gaji, kegagalan bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), lebihan waktu bekerja serta pengurusan keselamatan di tempat kerja.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan supaya tidak lagi mengeksploitasi wang KWSP bagi tujuan tujuan 'bail-out' syarikat milik negara kerana KWSP adalah satu 'privilege' golongan pekerja.

"Seharusnya, dividen dibayar lebih tinggi kepada pencarum dan bukannya keuntungan disapu oleh kerajaan," tegasnya.

Mengulas usaha dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, Faiz berkata, kerajaan perlu mengambil langkah transformasi yang efisien dan drastik termasuk melakukan pemulihan ekonomi negara pada kadar segera.

"Ribuan pekerja tempatan sekarang menganggur akibat tindakan 'retrenchment' yang diambil oleh majikan termasuk syarikat-syarikat gergasi negara seperti MAS, Petronas, Shell, Proton, Perodua, Naza, Hong Leong Bank, RHB Bank, Motorola, Ranhill dan pelbagai lagi syarikat industri kecil dan sederhana.

"Keadaan ekonomi yang lembap ini juga telah mengakibatkan lebih 400,000 graduan masih tidak mempunyai pekerjaan.

"Perkara ini adalah sesuatu yang membimbangkan terutama anak muda yang terbelenggu dengan pinjaman pendidikan yang pastinya menjejaskan langkah awal untuk mereka mengharungi kehidupan baharu," jelasnya.

Oleh yang demikian, beliau menggesa supaya belanjawan negara dikaji semula dengan menyuntik lebih banyak dana selain meluluskan tuntutan gaji minima sebanyak RM1,500 sebulan.

"Pemborosan perbelanjaan dalam pengurusan, ketirisan dan korupsi dalam pembangunan perlu dihentikan dengan memulihkan integriti tata kelola pentadbiran negara agar keyakinan pelabur antarabangsa dikembalikan.

"Maka, pengunduran Datuk Seri Najib Razak daripada jawatan Perdana Menteri adalah langkah ke arah satu transformasi total dan ampuh sistem pemerintahan dan ekonomi negara," tegasnya lagi.

Tiada ulasan: