MALAYSIA DATELINE
Meskipun
berpuas hati dengan pencapaiannya sebagai calon termuda dalam Pilihan
Raya Negeri (PRN) Sarawak ke 11, calon tunggal Melayu DAP bagi kerusi
Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Kitang, Abdul Aziz Isa menyifatkan
kekalahannya kepada calon Barisan Nasional (BN) sebagai satu
pertandingan yang tidak adil.
Aziz 26, mendedahkan punca kekalahannya adalah taktik politik kotor parti pemerintah itu.
Beliau berkata selain faktor jumlah keluar mengundi yang rendah, beliau juga berhadapan dengan pilihan raya yang tidak adil.
“Selain pengundi Dayak yang beralih arah kepada BN, sekatan terhadap
jentera parti dari Semenanjung dan isu serangan peribadi yang melibatkan
ahli keluarga, adalah antara yang menjadi faktor kekalahan,” katanya
seperti dipetik portal Sarawaklive.
Namun katanya beliau berbangga kerana “kalah bermaruah” dengan memperolehi undi sebanyak 4,628.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Aziz DAP, turut mengucapkan
tahniah kepada calon BN Lo Khere Chiang yang menangi kerusi tersebut
dengan mendapat 6,494 undi.
“Saya mengucap setinggi tahniah kepada Lo Khere Chiang, semoga beliau menjadi pemimpin dan wakil rakyat yang baik,” ujarnya.
Bagaimana pun, Aziz hargai pengalamannya bertanding dalam Pilihan
Raya kali ini, dan bertekad bertanding lagi pada Pilihan Raya Umum (PRU)
ke 14 nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan