Ahad, 1 Mei 2016

'Air sekeruh 'milo'. Janji PBB di Beting Maro bakal makan diri

ZAINULFAQAR YAACOB


Calon Amanah di Bating MaroCalon Amanah di Bating Maro


Mutu air rawat yang disalurkan ke kampung-kampung Melayu di sekitar DUN Beting Maro dikatakan tidak bersih, sekeruh air milo.

Isu ini menjadi buah mulut dan cakap-cakap orang Melayu setempat di Kampung Pusa, Kampung Beladin, Kampung Semarang dan Kampung Sepinang, yang ditemui pagi tadi.

Masing-masing mengaku, penyandang, ADUN Beting Maro, Razaili Gapor dari Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) sendiri berjanji untuk menangani isu malar segar ini sejak musim kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2010 lagi.

Namun, bagi Hipni Buhari, 38, berkata, isu bekalan air bersih masih tiada disalurkan ke kampungnya, di Sepinang.

"Kita orang Melayu beri undi kerana Razaili calon parti pemerintah yang ada kuasa bawa kemajuan di negeri ini, tetapi usahanya selesai itu air masih tidak nampak," jelas Hipni kepada pemberita.

Mohtada Dol, 56, bekas pesara tentera berkata, kelemahan parti pemerintah menangani isu ini seakan diambil kesempatan oleh calon-calon dari blok parti pembangkang.

PRN kali ini, Razaili dicabar oleh calon PAS, Hamidah Mokhtar dan calon Parti Amanah Negara (AMANAH), Hud Andri Zulkarnaen.

"Nampaknya calon-calon pembangkang pun lantang senada dengan orang tempatan, (iaitu) air ke Beting Maro bukan air bersih tapi 'air milo'," jelas beliau.

Mohtada bagaimanapun berkata, Razaili Gapor masih boleh mempertahankan kerusi ADUN Beting Maro jika menurunkan lebih banyak 'bantuan segera' lain seperti PRN 2010.

"Haji Razaili pada pilihan raya (negeri) dahulu pun dapat saingan kuat daripada pembangkang, cuma selepas pilihan raya itu, parti PAS tidak terus bawa isu air ini.

"Sekarang, PAS bawa 'muka baru' dan mereka akan lihat - adakah 'muka baru' ini akan hilang lima tahun lagi.

"Asal AMANAH itu pun (daripada) PAS, kalau 'muka baru' (daripada) AMANAH ini pun hanya muncul pada waktu begini (PRN) lima tahun sekali, orang kampung tak akan yakin macam PAS sekarang," jelas Mohtada lagi.

Zahara Ali, peniaga atas talian pula berkata, beliau yakin masalah bekalan air rawat di kampungnya, Kampung Pusa akan selesai jika blok pembangkang semakin kuat.

"Kalau kita tidak sokong PBB, kita tak beri undi kepada ADUN sini dahulu.

"Macam sekarang ada dua calon pembangkang, cubalah sokong PAS atau satu parti lagi (Amanah), biar pembangkang kuat di Sarawak (serta) kuat bawa isu air ini di DUN nanti," katanya.

Zahara bagaimanapun berkata, beliau dan suaminya yang bergelar 'pensyarah' di sebuah Universiti Awam di tanah air ink mungkin tidak lagi mengundi calon PAS, yang dianggap mesra Barisan Nasional.
PRN lalu, Razaili menang di DUN N.29 Beting Maro dengan 3,069 undi.

Penolong Setiausaha AMANAH, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus yang bertanding atas tiket PAS ketika itu tewas, dengan memperoleh 2,678 undi.

BN menang dengan hanya majoriti 391 undi sahaja.

Tiada ulasan: