Sabtu, 7 Mei 2016

39 peratus keluar mengundi sehingga 1 tengah hari


SINAR HARIAN


39 peratus keluar mengundi sehingga 1 tengah hari
Pengundi berpusu-pusu memasuki pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Agama Miri bagi DUN N75 Senadin sebaik sahaja pintu dibuka tepat jam 8 pagi tadi. - Foto Bernama


KUCHING - Sehingga jam 1 tengah hari, sebanyak 39 peratus pemilih berdaftar sudah keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat mereka di 80 kawasan Dun pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11, hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Hashim Abdullah ketika ditemui media di sebuah pusat pengundi di sini pagi ini, berkata proses pengundian sehingga kini berjalan lancar, dan setakat 10.30 pagi, 13 pusat pengundian sudah ditutup.

Sementara itu, Pengarah SPR Sarawak Datuk Takun Suggah ketika dihubungi berkata satu kejadian koridor sekolah diperbuat daripada kayu yang dijadikan laluan pengundi, dilaporkan runtuh di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Annau, Tatau, kira-kira 70km dari Bintulu.

Beliau berkata kejadian kira-kira 10 pagi di sekolah yang dijadikan salah sebuah pusat pengundian bagi Dun Jepak itu, mengakibatkan kira-kira 40 pengundi terjatuh, dan seorang daripadanya dilaporkan cedera ringan.

Antara yang sudahpun mengundi sehingga kini ialah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang dalam kawasan Dun Satok di sini, dan juga Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dun Satok. 

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, turut mengundi di tempat sama.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang juga calon BN Bukit Saban; Datuk Amar Douglas Uggah Emas pula mengundi di rumah panjang beliau di pusat pengundian di Rumah Wilson Begat Bakir, Penon, Ulu Paku, Betong. 

Dalam pada itu, antara menteri persekutuan dari Sarawak yang sudah pun mengundi pagi ini, ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot,

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Calon langsung BN bagi kawasan Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh dan Datuk Tiong Thai King (calon langsung BN Dun Dudong), juga sudah mengundi di Dewan SK St Rita, Sibu. – Bernama


Tiada ulasan: