Khamis, 24 Mac 2016

Vida mahu lamar Teong Kim untuk Akademi DSV

Jurulatih merupakan asas kepada sebuah pasukan yang mantap dan akan mengasah bakat pemain untuk digilap menjadi bintang. 


vida_Lim-Teong-Kim_kelantan_600


PETALING JAYA: Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berhasrat mahu mendapatkan khidmat Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim untuk mengemudi Akademi Bola Sepak DSV (Datuk Seri Vida) yang ingin ditubuhkannya.

Beliau yang merupakan penaja utama pasukan bola sepak Kelantan dan lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata, hasrat untuk menjadikan Teong Kim sebagai peneraju akademi tersebut adalah disebabkan latar belakangnya yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkenaan.

“Pokok pangkalnya, jurulatih itu merupakan asas kepada sebuah pasukan yang mantap. Jurulatih itu sebenarnya yang akan mengasah bakat pemain untuk digilap menjadi pemain bintang.

“Oleh itu saya fikir Teong Kim merupakan jurulatih yang berkelayakan untuk mengemudi akademi saya nanti. Saya percaya beliau mampu membawa perubahan terhadap bola sepak negara,” katanya yang dipetik dari laman portal mStar Online.

Sebelum ini, Teong Kim pernah melatih Akademi Remaja Bayern Munich pada tahun 2001 hingga 2011 dan bertanggungjawab melahirkan pemain terkemuka dunia seperti Thomas Muller bagi pasukan Jerman.

Beliau kembali ke Malaysia pada 2013 dan mengikat kontrak selama lima tahun dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai Pengarah Teknikal PPBN.

Pada Jun tahun lalu, skuad bola sepak Bawah 13 (B-13) PPBN kendalian beliau melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Remaja Piala Iber Costa del Sol 2015 di Sepanyol dengan membenam kelab Portugal, Sporting Lisbon 2-1.

Susulan itu, Vida berharap agar Teong Kim sedia mempertimbangkan tawaran tersebut sebaik sahaja akademi bola sepak miliknya ditubuhkan nanti.

Pada Sabtu lalu, Vida berhasrat menubuhkan Akademi Bola Sepak DSV yang akan memberi tumpuan kepada pemain berusia 13 hingga 18 tahun di Kelantan.

Untuk permulaan, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata, akademi tersebut akan mengambil kemasukan seramai 30 pemain berbakat setiap tahun.

Tiada ulasan: