JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan
Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor sempena lawatan kerja beliau ke
negeri ini pada Ahad ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan akan melancarkan pelan itu dan
Rancangan Pembangunan Komprehensif Ke-2 Iskandar Malaysia (CDPii) di
Stadium Educity, Iskandar Puteri dekat sini.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Johor hari ini, pelan
pertumbuhan itu merangkumi visi strategik dan komprehensif pembangunan
di Johor bagi membangunkan setiap daerah di negeri itu mengikut lapangan
tertentu untuk lima tahun akan datang.
CDPii pula lebih menumpukan kepada aspek pengurusan sosial dan alam
sekitar serta prospek pembangunan ditawarkan di dalam Wilayah
Pembangunan Iskandar Malaysia.
Sebelum pelancaran itu, Najib dijadual menghadiri perasmian projek
pembangunan hartanah Forest City di Gelang Patah oleh Sultan Johor
Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Projek hartanah itu bakal mewujudkan lebih 220,000 pekerjaan kepada
penduduk tempatan menjelang 2035 menerusi penglibatan dalam lapan sektor
pertumbuhan industri termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan
pelancongan.
Menurut kenyataan itu, projek berkenaan yang bercirikan konsep mesra
alam, akan dibina di empat pulau buatan manusia yang seluas lebih 1,400
hektar.
Ia antara projek pembangunan hartanah terbesar di Asia dari aspek
jumlah unit hartanah yang akan dibangunkan dalam sembilan fasa bagi
tempoh 20 tahun.
Najib juga dijadual merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor di Galleria di sini.
UTC itu adalah yang kelapan dirasmikan perdana menteri selepas
merasmikan dua pusat sama di Kuala Lumpur dan masing-masing satu di
Melaka, Perak, Pahang, Kedah dan Sabah sebelum ini. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan