Dalam kenyataan di sini, Khamis, Pengerusinya Tan Sri Harussani Zakaria berkata ini kerana penulisan al-Quran dalam bahasa lain tanpa adanya teks bahasa Arab tidak boleh dianggap sebagai al-Quran.
Perbuatan itu juga boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pencetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986 dan Akta Mesin Cetak (AMCP) 1984, katanya.
Beliau yang juga Mufti Perak mengulas mengenai kempen "Let's Read The Quran" bagi menulis dan membaca al-Quran dalam bahasa lain selain bahasa Arab.
Untuk itu, katanya, LPPPQ bersama-sama dengan pihak berkuasa agama Islam di setiap negeri akan mengambil tindakan tegas bagi menyekat gerakan dan kempen berkenaan.
Dalam pada itu, Harussani berkata al-Quran yang diterjemahkan dalam pelbagai bahasa bagi memudahkan mereka yang tidak memahami bahasa Arab memahami kitab suci berkenaan, tidak boleh dianggap sebagai naskah al-Quran tetapi merupakan 'terjemahan al-Quran' atau 'tafsir al-Quran'.
Terjemahan al-Quran tanpa disertakan dengan teks asal dalam bahasa Arab adalah dilarang kerana takut disalah fahami dan membacanya tidak mendapat pahala, katanya.-- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan