Selasa, 8 Mac 2016

Laporan SPRM ‘Khairy taja umrah Pemuda Umno’ ditangguh

Alyaa Alhadjri  




Pemimpin akar umbi Pemuda Umno, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail hari ini menangguhkan hasratnya untuk membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Syed Rosli menaklumkan kepada Malaysiakini bahawa dirinya tidak sihat dan akan membuat laporan pada hari lain.

Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Selangor itu dijadualkan membuat laporan berkenaan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini.

Laporan itu bertujuan untuk memulakan suatu penyiasatan mengenai sumber dana yang digunakan oleh Khairy untuk menaja 191 ketua Pemuda Umno Bahagian melaksanakan umrah di Makkah, baru-baru ini.

"Saya dengar bahawa Pemuda AMANAH juga akan membuat laporan yang sama, esok," kata Syed Rosli.

Ketika dihubungi, Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH, Fadzil Ahamad mengesahkan bahawa mereka akan ke ibu pejabat SPRM esok.

"Ya. Kami akan buat laporan kepada SPRM esok supaya kertas siasatan dibuka bagi menentukan sumber dana yang digunakan untuk perjalanan itu," katanya.

Dalam satu kenyataan semalam, Naib Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil juga melahirkan kebimbangan yang sama seperti Syed Rosli berhubung sumber dana yang digunakan itu.

Katanya, adalah mustahil bagi Khairy membiayai kos perjalanan jika hanya berdasarkan gajinya sebagai menteri dan ahli parlimen.

Faiz turut mempersoalkan tujuan Khairy menaja keseluruhan delegasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Syed Rosli hari ini berkata Khairy tidak akan secara sukarela mendedahkan sumber dana itu.

"Jika kami (Pemuda Umno) minta Ketua Pemuda Umno (Khairy) di mana dia dapat wang itu, dia tidak akan jawab. Tak mungkin wang itu dari akaun peribadinya.

"Sebab itu SPRM harus siasat sumber dana itu," kata Syed Rosli yang menganggarkan kos keseluruhan perjalanan yang ditanggung oleh Khairy itu bernilai hampir RM1.4 juta.

Tiada ulasan: