Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata para pedakwah yang ingin menyampaikan kuliah atau ceramah dinasihatkan agar terlebih dahulu mendapatkan kebenaran atau tauliah mengajar daripada pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.
Katanya, ini adalah kerana Jakim mendapati ada segelintir pendakwah yang menyampaikan ceramah dengan cara tidak sepatutnya seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina beberapa pihak.
"Mereka (pendakwah) juga mencaci pelbagai pihak termasuk penjawat awam, anggota keselamatan dan sebagainya, sedangkan apa yang diperkatakan itu adalah tidak benar dan mengguris perasaan pihak-pihak yang dimaksudkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Othman berkata Jakim sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa agama di negeri-negeri agar peraturan menyampaikan ceramah dan mengajar agama sentiasa dipatuhi.
"Langkah ini bertujuan mengelakkan mereka yang tidak berkelayakan menyampaikan ceramah dan mengajar dengan cara yang tidak sepatutnya serta dapat mengelak perpecahan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," jelasnya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan