Sabtu, 5 Mac 2016

Hadi izinkan Khairuddin Aman dan Mustafa Ali tandatangani Deklarasi Rakyat

Oleh Zeanaaima Mohd Yusof

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu kehadiran dua pemimpin parti itu pada majlis menandatangani Deklarasi Rakyat mendapat kebenaran presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Dua pemimpin itu adalah Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Khairuddin Aman Razali dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.
 
Ujarnya PAS tiada masalah bersabit sokongan terhadap deklarasi itu berikutan ia adalah hak rakyat.
 
"Deklarasi itu adalah deklarasi rakyat. Kandungan deklarasi ialah mendesak Najib turun dari jawatan selaras dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh PAS. 
 
"Tiada masalah dengan deklarasi tersebut," ujarny menerusi kenytaan medianya, pada Jumaat.
 
Pun begitu, Tuan Ibrahim berkata parti mendokong pendirian Hadi untuk tidak terlibat dengan mana-mana usaha menggulingkan Najib kecuali mengikut saluran yang betul iaitu melalui pilihan raya.
 
"Seluruh pimpinan  parti berdiri teguh di atas pandangan dan hak Presiden dalam isu ini. 
 
"PAS akan terus berusaha ke arah perubahan total dasar negara agar selaras dengan tuntutan Islam," ujarnya.
 
Seramai 58 pemimpin pembangkang disertai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, anaknya, Datuk Seri Mukhriz dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin petang tadi menandatangani deklarasi berjudul 'Selamatkan Malaysia'.
 
Dalam ucapannya Mahathir yang membakar jambatannya dengan Umno untuk kali kedua, akur beliau berkongsi pentas dengan pembangkang dan aktivis yang berlainan perjuangan.
 
“Namun kita semua di sini sebagai rakyat Malaysia. Kita tidak mewakili mana-mana parti atau NGO,” katanya pada sidang medianya, hari ini.
 
Antara pemimpin pembangkang yang kelihatan adalah Lim Kit Siang (DAP), Datuk Seri Azmin Ali (PKR), Datuk Mustafa Ali, Mahfuz Omar (PAS), Datuk Kamaruddin Jaafar (PKR), Tian Chua (PKR), Mohamad Sabu dan  Sallehudin Ayob (Parti Amanah Negara).
 
Bagaimanapun tiada ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis berkenaan walaupun Ketua Umum PKR itu, semalam menyatakan sokongan terhadap usaha Mahathir melancarkan gerakan bagi menjatuhkan Najib.
 
Selain pembangkang, beberapa aktivis seperti Datuk S. Ambiga dan Maria Chin Abdullah turut hadir pada majlis itu.
 
 

Tiada ulasan: