Sabtu, 23 Januari 2016

Tindakan 14 Ketua Bahagian Umno ikut Perlembagaan‎

Tengku Adnan Tengku Mansor
Tengku Adnan 
 
 
PUTRAJAYA - Empat belas Ketua Bahagian Umno Kedah tidak dikenakan tindakan kerana pandangan mereka disuarakan berasaskan perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ‎mereka tidak mendesak supaya Ketua Perhubungan Negeri meletakkan jawatan.

"Ketidakpuasan hati mereka disuarakan dan keputusan diserahkan kepada pucuk pimpinan," kata Tengku Adnan.

Tambah beliau, tindakan mereka tidak seperti beberapa ketua cawangan yang mendesak supaya Presiden parti Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan, lapor Astro Awani.

"Dalam perlembagaan parti, ada ruang untuk menyuarakan pendapat tetapi ia harus dilakukan dengan cara yang betul," jelas Tengku Adnan.

Beliau ditemui selepas merasmikan pelepasan Kayuhan Cinta Malaysia di Putrajaya pagi ini.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai butiran dalam mesyuarat antara Najib bersama beberapa Ketua Bahagian Umno Kedah pada Jumaat, Tengku Adnan enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak terlibat. Mana nak tahu butirannya.

"Namun, saya yakin Perdana Menteri akan meneliti apa yang telah disuarakan ketua-ketua bahagian dan keputusan akan diumumkan kelak," katanya.


Tiada ulasan: