Sabtu, 2 Januari 2016

Rumah Ngaji Darul Takzim komited

Rumah Ngaji Darul Takzim komited
Peserta Rumah Ngaji Darul Takzim diberi tunjuk ajar bermula dari asas menerusi bacaan Iqra'.


JOHOR BAHRU - Rumah Ngaji Darul Takzim terus komited untuk menarik lebih ramai murid menyertai kelas mengaji yang ditawarkan secara percuma kepada orang ramai di sekitar daerah ini.

Pengurusnya, Masila Mas’od berkata, rumah ngaji di Taman Tampoi Utama itu, dibuka sejak April lalu dan diuruskan sendiri bersama rakannya, Roslina Ismail.

Menurutnya, rumah ngaji berkenaan dibuka bagi membantu orang ramai mendalami ilmu al-Quran secara percuma dengan bimbingan profesional oleh guru bertauliah dilantik.

“Terdapat dua kelas mengaji di sini iaitu kelas bacaan asas pada setiap Jumaat dan Sabtu untuk murid yang tidak tahu membaca al-Quran.

“Kami juga mempunyai kelas mengaji dan tadabbur setiap Khamis dan Ahad untuk murid yang sudah lancar membaca.

"Misi kita untuk memastikan setiap masyarakat mampu mengaji dan mendalami al-Quran,” katanya.

Masila berkata, menerusi kelas mengaji dan tadabbur, peserta diberi pendedahan mendalami al-Quran dengan memahami maksud setiap surah dalam kitab suci berkenaan.

“Dalam setiap kelas, kami akan fokus kepada 10 ayat dan guru mengaji akan menerangkan maksud ayat berkenaan agar dapat diamalkan murid kerana sebahagian ayat dalam al-Quran juga adalah doa.

“Tujuan kami supaya setiap peserta dapat memahami maksud ayat yang dibaca agar mereka menghayati al-Quran dan meninggalkan kesan pada jiwa masing-masing,” katanya.

Jelasnya, rumah ngaji berkenaan mampu menempatkan kira-kira 30 pelajar dan kemudahan pembelajaran seperti al-Quran dan Mukaddam turut disediakan untuk murid.

“Kelas mengaji di sini terbuka kepada semua peringkat umur termasuk kanak-kanak, dewasa dan warga emas.

“Murid boleh mengikuti kelas yang disediakan mengikut jadual ditetapkan sehingga mereka mahir dan lancar membaca. Kami mahu peserta belajar dengan penuh istiqamah hingga mahir,” katanya.

Masila berkata, mereka turut menyediakan kelas Asmaul-Husna pada Khamis minggu terakhir setiap bulan sebagai bimbingan kepada peserta mendalami sifat-sifat ALLAH dan merancang membuka kelas Bahasa Arab dan Tajwid.

“Selain kelas mengaji, kita juga ada kelas Asmaul Husna dan aktiviti lain termasuk mengadakan bacaan yassin bersama anak-anak yatim.

“Kita berharap dapat membuka lebih banyak rumah ngaji di negeri ini selain diperluaskan dan memberi manfaat kepada orang ramai,” katanya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini hanya 10 murid menyertai rumah ngaji itu dan berharap orang ramai khusus di kawasan sekitar mengambil peluang berkenaan.

“Penyertaan murid masih kurang walaupun ia percuma.

“Golongan dewasa dan warga emas amat dialu-alukan menyertai kelas ini.

“Mana-mana pihak yang ingin belajar secara peribadi di sini bersama guru mengaji juga boleh berunding dengan guru berkenaan,” katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai kelas di rumah ngaji  di sini boleh menghubungi Maslina di 019-7778010 dan Roslina 019-7575098 atau ke No-26-01, Jalan Sri Perkasa 2/18, Taman Tampoi Utama


Tiada ulasan: