Sabtu, 2 Januari 2016

‘Penoreh getah hanya dapat RM400 sebulan’

‘Penoreh getah hanya dapat RM400 sebulan’
Zali Sani


GEMENCHEH - “Sejak harga getah jatuh RM2 sekilo, pendapatan bulanan saya hanya RM400 hingga RM500 saja. Dah setahun tak naik-naik... harga getah turun,” kata Zali Sani, 56.

Zali yang tinggal di Kampung Gemencheh Lama, di sini, mula menoreh getah sejak lima tahun lalu di kebun getah milik isterinya seluas 1.2 hektar di Kampung Tengah, di sini.

Menurutnya, harga getah semasa sekarang RM1.92 sekilogram iaitu amat rendah dan penoreh terpaksa berjimat cermat dalam berbelanja.

“Pendapatan bulanan saya habis macam tu saja. Barang sekarang mahal, dengan RM400 cukup untuk belanja dapur dan keperluan saya dan isteri saja.

“Saya terpaksa buat kerja sampingan baiki rumah untuk cari duit tambah,” katanya di sini, semalam.

Menurut bapa kepada seorang anak itu, kos hidup yang tinggi sekarang memberi beban kepada penoreh getah kerana pendapatan yang rendah.

“Saya suami isteri saja habis RM400 sebulan untuk belanja dapur. Itu belum lagi nasib penoreh getah yang ada anak ramai dan masih sekolah.

“Tambah sekarang musim hujan, semakin kuranglah pendapatan kami kerana tak dapat keluar menoreh,” katanya.

Zali yang sebelum ini bekerja sebagai buruh binaan berkata, bantuan Risda sebanyak RM500 setahun kepada penoreh getah sedikit sebanyak membantu meringankan beban, namun bantuan itu masih tidak mencukupi.

“Bantuan RM500 hanya dapat sekali setahun. Jika dibahagikan selama 12 bulan, kami dapat RM41 saja sebulan.

“Kita harap kerajaan dapat menaikkan bantuan ini kerana kos hidup yang semakin tinggi ditambah pula harga barang naik mendadak,” katanya.


Tiada ulasan: