Sabtu, 2 Januari 2016

'Rahsia perkahwinan kerana ada hati perlu dijaga'

Adira
 

BERITA perkahwinan Adira Suhaimi, 25 bersama seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu hampir sebulan lalu bukan lagi rahsia.

Bahkan penyanyi kelahiran rancangan realiti Akademi Fantasia itu mengakui bergelar isteri kedua juga bukan alasan dia tidak mengecapi kabahagiaan rumah tangga seperti orang lain.

Berkongsi mengenai statusnya sebagai seorang isteri kini, kata Adira, dia meminta maaf kepada semua jika tindakannya itu mengguris hati banyak pihak.

"Ia sesuatu yang sangat peribadi bagi saya. Apa yang penting mereka sudah tahu saya telah pun berkahwin.

"Hal-hal lain tidak boleh dikongsikan demi menjaga hati pihak sebelah dan keluarga saya sendiri," katanya ketika di temui di majlis perasmian Butik Benang Hijau di Damansara tengah hari tadi.

Bulan lalu, Adira mengesahkan menjadi isteri kedua Adnan selepas tersebar gambar di laman sosial bahawa penyanyi pujaan ramai tersebut berkongsi suami dengan seorang wanita dikenali sebagai Datin Red.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎Adira sahkan kini isteri nombor 2 Datuk Seri]

Tambah Adira, dia bukan sengaja merahsiakan perkahwinannya itu.

"Saya sendiri masih tidak percaya saya sudah bergelar isteri. Cukuplah saya katakan saya sangat bahagia kini.
"Asalkan ada orang yang menjaga dan mengambil berat mengenai saya, itu sudah memadai.

"Cuma, untuk menjadi suami saya, dia adalah orang yang tepat kerana selain mampu menjaga saya dengan baik, dia mampu menghormati dan membahagiakan ibu saya," katanya.

Dalam pada itu, Adira meminta agar semua peminat dan pihak lain mendoakan kebahagiaannya.

"Pandangan dan penerimaan orang berbeza-beza, bagi yang suka dan gembira dengan status saya kini, saya berterima kasih dan ucapkan Alhamdullilah, tetapi bagi yang sebaliknya, saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya lagi.


Tiada ulasan: