Jumaat, 1 Januari 2016

Pulihkan imej Malaysia di mata dunia, bebaskan SPRM dari cengkaman Najib

zulpuri2

Oleh Fatih Hassan Nordin




KUALA LUMPUR : Organisasi yang menjalankan siasatan kes rasuah perlu bebas dari lingkungan pengaruh politik, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

“Jika kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) ada kuasa menentukan turun naik pangkat anggota dalam organisasi seperti Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) misalnya, saya bimbang akan berlaku kepincangan dalam siasatan,” katanya kepada Roketkini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kedudukan Malaysia di tempat ketiga entiti paling rasuah di dunia berdasarkan laporan foreignpolicy.com yang mengaitkan negara dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Pengerusi DAP Pahang itu yakin pemisahan kuasa itu membantu membaiki dan memulihkan reputasi mahupun kedudukan Malaysia berkaitan isu rasuah pada peringkat antarabangsa.

Jika Najib terus memerintah negara dan berkuasa menentukan anggota badan penyiasat, beliau berkata, peluang untuk melihat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan dengan telus, sangat tipis.

Menyatakan ia menjejaskan reputasi negara berikutan skandal itu tersebar luar di dunia, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga jangan sesekali campur tangan dalam urusan berkaitan siasatan kes rasuah

Ogos lalu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob dipindah serta-merta ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kebanyakan pemerhati mendakwa pertukaran itu ekoran suara lantang Bahri mengecam tindakan polis terhadap SPRM berhubung dakwaan kononnya agensi itu disyaki terbabit membocorkan dokumen sulit kerajaan berhubung siasatan 1MDB.

Tengku Zulpuri juga kesal kerana Najib seakan-akan ‘tidak tahu malu’ dan ‘tidak ambil pusing’ dengan skandal berkenaan, malah menguatkan cengkaman politiknya dengan memperkenal Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang zalim.

“Kalau di Jepun, mana-mana pemimpin yang dibuktikan bersalah sudah lama letak jawatan atau lakukan seppuku. Tetapi di Malaysia sangat berbeza, pemimpin tak tahu malu dan luluskan RUU zalim,” katanya.

Seppuku adalah suatu bentuk ritual samurai di Jepun dengan merobek perut untuk memulihkan nama baik setelah kegagalan saat melaksanakan tugas atau kesalahan berkaitan kepentingan rakyat.


Tiada ulasan: