Khamis, 21 Januari 2016

PERKASA saran kerajaan contohi bajet Petronas

Anne Muhammad


 


PERKASA menyarankan agar kerajaan mencontohi Petronas dalam mengurangkan gaji pegawai atasannya selain mengurangkan perbelanjaan modal (capex) dan perbelanjaan operasi (opex) syarikat berkenaan sehingga RM50 bilion.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, kepimpinan negara ini seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat ketika ekonomi mengalami kejatuhan akibat defisit harga minyak.

“Ini yang kita harap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gubal belanjawan seperti Petronas, pemimpin perlu tunjuk contoh yang baik.

“Kita rasa bangga, adakah pemimpin politik setaraf dengan kakitangan tinggi Petronas?,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PERKASA hari ini.

Semalam, Petronas berkata pihaknya akan mengurangkan capex dan opex sehingga RM50 bilion berikutan harga minyak mentah yang terus merudum.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, dalam satu surat dalaman kepada kakitangannya berkata kenyataan itu dibuat supaya beliau bersikap telus bagi menyatukan pasukan dalam menempuh tempoh paling mencabar.

Wan Zulkiflee berkata, langkah awal yang dilaksanakan itu tidak cukup untuk menyerap impak kejatuhan ketara dan berterusan harga minyak dunia.

Tiada ulasan: