Sabtu, 2 Januari 2016

PERKASA kritik langkah terbaru 1MDB

Zikri Kamarulzaman


 


Kumpulan pendesak Melayu PERKASA kecewa dengan tindakan kerajaan menjual 60 peratus kepentingan milik 1MDB dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata ini kerana tindakan tersebut telah mengakibatkan maruah Melayu dan kedaulatan rakyat tergadai.

“Sedih kecewa yang amat sangat. Tidak boleh buat apa, ia sudah dijual.

“Mungkin kesuntukan masa dan sikap ambil mudah sebagai jalan pintas maka tergadailah maruah dan kedaulatan rakyat apatah lagi bagi kaum pribumi.

“Ini yang di katakan menang sorak kampung tergadai,” tegas Ibrahim kepada Malaysiakini.

Malah, Ibrahim berkata segala usaha bagi menghalang penjualan tersebut sudah terlewat.

“Dah terlewat. Jika kerajaan baca resolusi dan usul yang diluluskan oleh PERKASA dalam wacana, meja bulat, konvensyen malah kongres PERKASA sebelum ini yang telah diserah kepada kerajaan berkaitan isu ekonomi, tanah dan pelbagai kepentingan rakyat dan negara.

“Jika ia diberi perhatian dan dihayati, penjualan ini sewajarnya tidak berlaku. Sepatutnya ada cara lain,” kata bekas anggota Parlimen Pasir Mas itu.

Kelmarin, 1MDB menjual kepentingan 60 peratus miliknya dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings (IWH) Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation (CREC) Sdn Bhd.

Majlis menandatangani perjanjian itu dengan dua rakan kongsi baru mereka diadakan di Royale Chulan Hotel di Kuala Lumpur.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dilaporkan sebagai berkata kepentingan 60 peratus saham syarikat itu dijual kepada konsortium berkenaan pada nilai RM7.41 bilion manakala penilaian semasa Bandar Malaysia diletakkan pada RM12.35 bilion.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata beliau bimbang aset negara akan terus dijual pada masa depan lebih-lebih lagi sebaik sahaja Malaysia memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan datang.

“Sebelum ini syarikat tenaga IPP (pengeluar tenaga bebas) dan terbaru tanah di Sungai Besi tempat yang strategik dan amat bernilai.

“Kita bimbang TPPA boleh menyebabkan harta negara terancam tapi tanpa TPPA pun tanah dan tenaga sudah dijual kepada orang luar.

“Mana dia semangat pengisian kemerdekaan? Sekadar mencurah perasaan yang terlalu kecewa kerana tak boleh buat apa, berputih matalah rakyat,” tambah Ibrahim.


Tiada ulasan: