Yayasan itu memohon maklum balas daripada penerima
biasiswa JPA pelajar Sarawak sebagaimana yang diarahkan Ketua Menteri,
Tan Sri Adenan Satem.
KUCHING: Yayasan Sarawak meminta penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang terkesan dengan pembekuan tawaran biasiswa berkenaan agar menghubungi pihaknya dan pegawai terlibat.
Pengarah Yayasan Sarawak, Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, yayasan berkenaan memohon maklum balas daripada penerima biasiswa JPA berkenaan sebagaimana yang diarahkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, merangkap Pengerusi Yayasan Sarawak.
“Kami memohon maklum balas penerima biasiswa JPA dari Sarawak yang terkesan dengan pembekuan tawaran biasiswa JPA.
“Sila berhubung dengan saya sendiri atau mana-mana pegawai untuk maklumat lanjut,” katanya menerusi laman Facebook rasmi Yayasan Sarawak, hari ini.
Selain itu, penerima biasiswa JPA boleh menghubungi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Pendidikan Tinggi Mohamad Adzlie Ibrahim di talian 013-8099883 atau e-mel adzlie@yayasansarawak.org.my.
Mereka juga boleh menghubungi Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan Tinggi Muhamad Rahman Sallehin di talian 016-854 1239 atau e-mel rahmansallehin@yayasansarawak.org.my.
Semalam Adenan mengarahkan Yayasan Sarawak mencari jalan dan kaedah mengenai cara terbaik membantu pelajar tempatan yang belum menerima bayaran bagi biasiswa tajaan JPA.-BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan