Jumaat, 22 Januari 2016

PAN pula bakal terjerat?

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Perebutan kerusi di Selangor mungkin menyaksikan Parti Amanah Negara (PAN) bakal 'dipermainkan' rakan sekutunya, DAP.
 
Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr Azmi Hassan berkata, DAP tidak akan begitu mudah menyerahkan kerusi milik mereka kepada rakan pakatan seperti PAN kerana menganggap parti mereka kuat dan mampu bersendirian.
 
"Diramalkam jumlah kerusi yang bakal ditandingi DAP pada PRU14 ini akan bertambah berbanding PRU13 kerana ketiadaan PAS dalam Pakatan Harapan. Secara logiknya kekosongan PAS sepatutnya diisi Amanah tetapi DAP ketika ini begitu dominan dalam pakatan.
 
"Saya jangka DAP akan menang besar dari segi pembahagian kerusi berikutan ketiadaan PAS manakala PKR pula hanya peroleh kerusi tambahan dalam bilangan sedikit sahaja. PAN pula akan rasa tertipu dan dipermainkan kerana mereka sepatutnya miliki kerusi PAS tetapi tidak akan dibenarkan DAP," katanya yang dipetik Sinar Harian.
 
Azmi berkata, secara logiknya PAN menyimpan harapan untuk bertanding 100 peratus di kerusi PAS.
 
"Mungkin PAN beranggapan semua kerusi PAS milik mereka, namun pada hakikatnya DAP dan PKR akan memperoleh sebahagian besar komposisi kerusi berkenaan Makala PAN cuma mendapat baki lebihan itu sahaja,"  katanya.
 
Sementara itu, Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, situasi seperti ini jelas menguji keikhlasan DAP.
 
"Susulan kemelut ini, Amanah boleh menilai reaksi DAP sama ada bersetuju atau tidak menyerahkan sedikit kerusi mereka kepada sekutu baru seperti PAN.
 
"Malah PAN juga harus berhati-hati untuk pastikan mereka tidak disabotaj jika dapat kerusi kelak," katanya.
 
Beliau mengandaikan, DAP akan meredakan isu panas ini dengan meyakinkan PAN untuk bertanding di kerusi PAS.
 
"Kerana DAP pasti mahu kekalkan majoriti mereka untuk tidak timbulkan undi protes dalam kalangan ahli.
 
"Bagaimanapun DAP perlu sedar dan buka mata bahawa mereka masih perlukan sekutu Melayu Islam untuk dapatkan sokongan pengundi Melayu," katanya.
 
Sivamurugan berkata, buat masa ini tidak nampak persaingan dengan formula satu lawan satu malah berkemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru di kawasan bukan PKR atau DAP.
 
Untuk rekod, sebelum ini, Setiausaha AMK, Chang Li Kang menyarankan DAP menyerahkan separuh daripada kerusi majoriti Cina yang diwakilinya kini kepada PAN hal ini bertujuan mengikis label 'anti Melayu' terhadap parti itu.
 
Bagaimanapun, DAP menyifatkan cadangan itu sebagai pendapat peribadi semata-mata bahkan perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat kepimpinan DAP Selangor.
 
 

Tiada ulasan: