Khamis, 21 Januari 2016

'Mukhriz akan tersungkur dengan pembersihan politik'

MALAYSIAKINI


 


Ketika kedudukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi tanda tanya, seorang tokoh wartawan menjangkakan menteri besar kedah itu akan tersungkur juga dengan permainan politik perdana menteri.

Tan Sri Zainuddin Maidin yang lebih dikenali sebagai Zam berkata Datuk Seri Najib Razak sedang memperkuatkan kedudukannya dengan apa cara sekalipun.

Malah, kata bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu, Najib kini “berada pada suatu kekuatan sekarang untuk melakukan pembersihan politik bagi kepentingan dirinya dan isterinya yang setia.”

“Usaha ini sedang berjalan dengan sokongan dari PM Najib kerana gerakan tidak percaya pada Mukhriz ini dilakukan oleh orang-orang yang setia pada Najib dari sejak sekian lama,” kata Zainuddin.

Petang semalam hampir kesemua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Parlimen Umno Kedah menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz (gambar) sebagai menteri besar dan pengerusi Umno negeri.

Langkah itu dilihat sebagai reaksi kepada asakan Tun Mahathir Mohamad, bapa Mukhriz, terhadap pentadbiran Najib.

Sebagai tindak balas, kira-kira 1000 penyokong Mukhriz berkumpul di bangunan ibu pejabat Umno Kedah di Alor Setar bagi memberikan sokongan terhadap Muhriz.

Menulis dalam blognya hari ini, Zainudddin mengingatkan bahawa rakyat Kedah memberi sokongan pada BN dalam pilihan raya umum lalu kerana Mukhriz diuar-uarkan sebagai bakal menteri besar.

Menyentuh pentadbiran sepenggal Mukhriz juga, Zainuddin berkata tidak ada cerita rasuah dan penyelewengan seperti bawah pimpinan “orang-orang lama”.

Beliau juga dengan isu kebersihan dan perumahan untuk orang Melayu, menurut Zainuddin lagi, menunjukkan hasil positif dalam Mukhriz.

“Kehendak dan keperluan rakyat biasa yang kecil dan kepentingan perumahan untuk Melayu lebih diutamakan dari projek-projek besar yang mengisi temolok beberapa orang sahaja,” katanya.


Tiada ulasan: