Beliau berkata Malaysia harus menghasilkan beras berkualiti supaya dapat dieksport demi kepentingan strategi ekonomi negara untuk masa depan.
Menurutnya sehingga hari ini, Malaysia terpaksa mengimport kebanyakan beras istimewa seperti beras wangi dari Jepun dan Thailand.
"Sudah tiba masanya untuk kita membangunkan keupayaan kita sendiri menghasilkan beras istimewa ini dan saya telah meminta MARDI untuk memulakan projek itu," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Padi MARDI di sini Khamis.
"Penanaman beras istimewa ini mengambil masa dan kalau kita mulakan sekarang, ia akan mengambil lima tahun baru boleh tanam secara besar-besaran di jelapang padi," katanya.
Beliau berkata pelbagai proses perlu dilalui seperti benih yang dihasilkan itu perlu mendapat pengesahan keupayaannya dan ketahanan terhadap penyakit sebelum dibenar ditanam secara komersial.
Sementara itu, Ahmad Shabery berkata kementerian bersedia dalam menghadapi kemungkinan fenomena El Nino yang dijangka menjejaskan hasil tanaman dan perikanan.
Beliau berkata kementerian menyediakan pam bagi membekalkan keperluan air ke kawasan yang berkemungkinan dilanda musim kering akibat fenomena itu.
Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia cuaca panas dan kering yang berlaku di Perlis dan Kedah, dijangka dialami seluruh Semenanjung pada penghujung Januari hingga Mac ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan