PUTATAN: Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah yang bersidang hari
ini sebulat suara memutuskan hukum menghisap vape dan rokok elektronik
termasuk menjualnya sebagai haram kepada umat Islam.
Keputusan ahli muzakarah berkenaan yang dianggotai 10 individu daripada
pelbagai agensi berkaitan di negeri ini, menjadikan Sabah negeri ke-11
mengharamkan vape selain sisha.
Mufti
Sabah, Datuk Bungsu Jaafar, berkata berdasarkan hujah dan pandangan
dikemukakan ahli muzakarah, mereka bersetuju penggunaan vape, rokok
elektronik dan sisha adalah haram kepada umat Islam.
"Oleh itu umat Islam dilarang menghisap sisha, rokok elektronik dan
vape atau apa-apa aktiviti berkaitan dengannya termasuk aktiviti
penjualan dalam kalangan umat Islam.
"Salah satu dalil umum dalam penggunaan rokok elektronik, shisha dan
vape ini ialah perbuatan itu memudaratkan tubuh badan dan boleh memberi
kesan kepada kesihatan, jadi syariat Islam melarang perbuatan itu,"
katanya kepada media selepas Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah di
Balai Cerap Al-Biruni, di sini, sebentar tadi.
Ahli muzakarah itu disertai tokoh akademik dari Universiti Malaysia
Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), pakar undang-undang,
hakim mahkamah rayuan syariah, penasihat syariah Bank Negara dan wakil
Jabatan Peguam Negara.
Berikutan keputusan itu, Bungsu berkata, pihaknya akan memaklumkannya
kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebelum
diserahkan kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk diwartakan
sebagai fatwa.
Katanya, selepas itu terpulang kepada kerajaan negeri untuk
menguatkuasakannya sebagai undang-undang bagi membolehkan penguatkuasaan
penggunaan vape dan rokok elektronik dilaksanakan kepada umat Islam.
"Jawatankuasa Majlis Fatwa cuma menentukan hukum iaitu sama ada haram
atau tidak tetapi untuk mewartakan bidang kuasa lain dan ia terserah
kepada kerajaan negeri.
Namun kita boleh mengesyorkan kepada MUIS dan kerajaan negeri untuk diwartakan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan