SHAH ALAM: MCA memohon supaya Putrajaya tidak menggantung biasiswa
pelajar-pelajar yang sudah ditaja Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Ketua Pemudanya, Chong Sin Woon berkata, sekiranya kerajaan berhasrat
untuk memberhentikan tajaan biasiswa tersebut, biarlah ianya
dilaksanakan pada kumpulan pelajar baru.
"Kita minta kabinet untuk campur tangan, kalau boleh cadangan MCA ialah
kita terus memberi biasiswa sebab kita sudah janji kepada kumpulan ini.
"Kalau hendak berhentikan, biarlah kumpulan yang baru supaya mereka
tahu, sudah tidak ada lagi biasiswa untuk luar negara," kata Timbalan
Menteri Pendidikan II itu kepada Antarapos ketika dihubungi tadi.
Beliau mengulas laporan Sin Chew Daily yang memetik Putrajaya
menggantung biasiswa JPA untuk kursus ijazah dan bursary Kementerian
Pendidikan bagi program pra-universiti.
Difahamkan perkara tersebut telah disahkan oleh Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong yang membangkitkan isu itu dalam
mesyuarat kabinet semalam berikutan beberapa aduan daripada pelajar
cemerlang.
Bagaimanapun tegas Chong, susulan tindakan tergesa-gesa kerajaan
membatalkan tajaan biasiswa itu hanya akan merumitkan lagi keadaan.
Katanya lagi, sudah pasti yang terkesan adalah pelajar-pelajar
cemerlang dari keluarga yang kurang berkemampuan dan bergantung
sepenuhnya pada biasiswa untuk melanjutkan pelajaran mereka.
"Tetapi yang kumpulan bursary ini, mereka sudah mendapat tawaran,
mendapat keputusan yang cemerlang, memenuhi segala syarat, tiba-tiba
kata tiada biasiswa, jadi kita rasa tidak patutlah.
"Kalau hendak buat, biar kumpulan yang barulah supaya mereka bersedia
dan bukannya dengan tiba-tiba, apabila mereka sudah bersedia untuk
bertolak dan diberitahu sudah tidak ada lagi biasiswa seperti yang
dijanjikan," katanya lagi.
Untuk rekod, kerajaan sebelum ini mengumumkan lepasan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) 2014 yang mendapat keputusan 9A+ ke atas boleh menikmati
tajaan Bursary Kementerian Pendidikan bagi mengikuti pengajian peringkat
persediaan dalam negara untuk ijazah pertama.
Kementerian Pendidikan, dalam satu kenyataan pada 4 Mac 2015,
menjelaskan tajaan itu merangkumi pembiayaan yuran pengajian, elaun sara
hidup serta elaun penginapan sebelum melanjutkan pengajian peringkat
ijazah di dalam atau luar negara.
Menurutnya, tajaan Bursary itu akan diberikan tanpa mengira etnik, kaum dan latar belakang keluarga lepasan SPM terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan