Ahad, 3 Januari 2016

'Ikan rakyat' tampung kekurangan musim tengkujuh

ANTARAPOS.COM


Post Pic

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membekalkan 'ikan rakyat' bagi menampung kekurangan bekalan bahan mentah itu di Kelantan berikutan musim tengkujuh sekarang.
Pengarahnya Abdullah Ismail berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) bagi membekalkan ikan sejuk beku seperti kembung, selayang, sardin dan tamban, dalam tempoh terdekat.
"Pada masa sekarang kita sedang buat pemantauan mengenai penggunaan ikan di negeri ini sebelum membuat tempahan dengan NEKMAT," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bahar, Ahad.
Beliau mengulas rungutan pengguna mengenai kenaikan harga ikan secara mendadak di pasaran selepas nelayan tidak dapat ke laut sejak dua bulan lepas akibat laut bergelora.
Abdullah berkata NEKMAT mempunyai simpanan ikan yang mencukupi bagi menampung kekurangan di seluruh negara terutama pada musim tengkujuh yang berlaku setiap tahun.
Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang mengenai bekalan ikan dan harga yang ditawarkan di pasaran kerana NEKMAT mempunyai tujuh jenis ikan yang diperoleh ketika waktu kemuncak tangkapan sebelum disejuk beku.
Katanya walaupun disejuk beku, ikan berkenaan dijamin masih berkualiti dan akan dijual dengan harga tidak melebihi RM10 satu kilogram.
"Ikan-ikan berkenaan akan diedarkan menerusi pasar tani dan persatuan nelayan dalam tempoh terdekat.
"Selama ini pun kita sudah edarkan kepada pengguna di negeri ini tetapi kurang mendapat sambutan," katanya.

Tiada ulasan: