Isnin, 4 Januari 2016

Hukum jika ‘Sultan Melaka’ salah – Rani Kulup

 
Malaysia mempunyai undang-undang terhadap individu seperti Raja Noor Jan Shah 


Kulup


PETALING JAYA: Aktivis selebriti, Abdul Rani Kulup Abdullah mencadangkan tindakan diambil sekiranya ‘Sultan Melaka’, Raja Noor Jan Shah Tuah didapati bersalah mengikut undang-undang negara.

Presiden Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM) itu berkata, tindakan boleh diambil ke atas Raja Noor Jan Shah kerana negara ini mempunyai undang-undang penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana individu.

“Sekiranya Sultan Melaka tidak betul, ambil sahaja tindakan kepadanya kerana negara ini mempunyai undang-undang.

“Tetapi sebelum tindakan diambil, buatlah siasatan terlebih dahulu sebelum menghukum. Tidak perlu kita hendak cerita sana-sini. Kini isu ini sudah jadi nombor satu pula dalam negara,” katanya kepada FMT di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Raja Noor Jan Shah yang mendakwa dirinya Sultan Melaka kembali menjadi sebutan ramai, selepas dia menyampaikan gelaran Datuk Paduka Mahkota Melaka kepada Abdul Rani Kulup.

Dalam perkembangan sama, Abdul Rani Kulup mengingatkan rakyat negara ini supaya tidak ghairah menyebarkan isu Sultan Melaka kerana ia tidak membawa kebaikan kepada negara.

Katanya, banyak lagi isu utama yang boleh diperjuangkan, antaranya kenaikan kos sara hidup.

“Jangan kelam kabut, jangan berserabut tumpu isu Sultan Melaka, banyak benda lain yang perlu ditumpukan berbanding isu Sultan Melaka seperti kos sara hidup, pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), tol… desak ia diturunkan,” katanya.

Tiada ulasan: