Rabu, 27 Januari 2016

‘DZ’ didakwa menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu

 
Seorang penulis blog dan bekas wartawan mendakwa jawatan Abu Kassim akan diambil alih seorang pegawai kanan Pejabat Peguam Negara yang dikenali sebagai 'DZ'.


apanama-abu-kassim


PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed mungkin akan mengikut jejak bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dengan bersara awal, dakwa seorang penulis blog, semalam.

Pemilik blog apanama.my yang juga bekas editor politik New Straits Times, Firdaus Abdullah mendakwa, seorang pegawai kanan di Pejabat Peguam Negara yang dikenali sebagai ‘DZ’ disebut-sebut bakal menggantikan Abu Kassim.

Katanya, hal itu diceritakan oleh seorang ‘rakan wartawan’ yang melihat ‘DZ’ ketika berada di sidang media Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali, semalam.

“Dia berkata khabar angin tersebar mengatakan pegawai kanan itu membantu membersihkan kekalutan isu ‘2.6b’ dan SRC, dan telah dijanjikan jawatan sebagai habuan membersihkan Najib daripada dakwaan tidak berasas.

“Ia boleh dikatakan khidmat negara oleh ‘DZ’,” katanya lagi dalam tulisan terbaharu di blognya semalam.

Awal bulan ini, media juga melaporkan perkara yang sama bahawa Abu Kassim bakal digantikan tidak lama lagi atas sebab kesihatan.

Namun, SPRM mengeluarkan kenyataan balas menafikan perkara itu dan memaklumkan bahawa kontrak Abu Kassim hanya akan tamat pada tahun 2018, manakala persaraan wajib beliau pada 2020.

Kenyataan itu juga berkata Abu Kassim ‘tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak’ dan hanya akan berundur atas keputusannya sendiri.

1 ulasan:

77777 berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.