PONTIAN: Biro Penerangan Umno akan mengadakan Majlis Penerangan Perdana
berhubung tiga isu utama negara pada 14 November di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, lapor Bernama.
Majlis itu yang pertama kali dianjurkan itu menyasarkan kehadiran 191
ketua-ketua bahagian Umno dan 1,000 anggota pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) di seluruh negara.
Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, antara isu akan
disentuh ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Perjanjian
Perkongsian Trans-Pasifik (TTPA) dan Bajet 2016.
"Ketiga-tiga isu akan disampaikan masing-masing oleh Presiden dan
Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy; Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
"Masing-masing diberi masa sejam setengah untuk bercakap dan menjawab
soalan dalam dialog terbuka dan saya kira ini peluang terbaik untuk
semua pihak mendengar penjelasan mereka," katanya.
Ahmad memberitahu demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis
Penyampaian Peralatan Skim Ronda Sukarela (SRS) dan wang pendahuluan
pembiayaian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada
63 pelajar dalam kawasan Parlimen Pontian, di sini Khamis.
Katanya majlis penerangan itu yang bermula pada pukul 8.45 pagi turut
dibuka kepada pihak pembangkang yang ingin mengetahui lebih lanjut
tentang ketiga-tiga isu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan