KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini
menegaskan isu kebocoran maklumat tiada kaitan dengan siasatan
suruhanjaya itu ke atas SRC International Bhd.
Isu kebocoran maklumat adalah perkara yang berbeza, kata Pengarah
Siasatan SPRM Datuk Azam Baki sambil menegaskan SPRM akan meneruskan
siasatan ke atas syarikat itu walaupun terdapat siasatan khusus
berkaitan isu kebocoran maklumat seperti dilaporkan sebelum ini.
"SPRM hanya bertindak mengikut lunas undang-undang yang digubal
Parlimen dan tidak mahu ada sebarang gangguan yang boleh melewat dan
menjejaskan siasatannya.
"Sesungguhnya siasatan SPRM tidak boleh diganggu atau ditangguhkan atas
alasan perlu menunggu sehingga siasatan yang berkaitan dengan kebocoran
maklumat yang dilaporkan sebelum ini selesai terlebih dahulu," katanya
merujuk kepada kenyataan media SRC International hari ini.
SRC International dalam kenyataan itu berkata: "Walaupun SRC
menghormati SPRM, kami bimbang mengenai ketirisan atau kemungkinan
penjualan maklumat sulit yang berlaku baru-baru ini kepada ahli-ahli
media dan ahli politik yang tidak bertanggungjawab, mempunyai
kepentingan sendiri".
SRC International juga meminta peguam negara memulakan siasatan bebas
untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab terhadap kebocoran
atau kemungkinan penjualan maklumat sulit, yang melibatkan ahli-ahli
politik yang mempunyai agenda dan/atau pegawai tidak amanah.
"Selepas selesai penyiasatan oleh peguam negara, kami akan bekerjasama
sepenuhnya dengan SPRM atau mana-mana pihak berkuasa lain bagi sebarang
pertanyaan," menurut kenyataan SRC International itu.
Azam berkata kenyataan SRC International berkaitan perkara itu
sekiranya benar, ia seolah-olah pihak berkenaan tidak mahu SPRM
menjalankan siasatan terhadapnya.
Katanya mana-mana pihak yang menghalang siasatan SPRM boleh diambil tindakan di bawah Akta SPRM 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan