Khamis, 26 November 2015

Penasihat-penasihat Najib adalah ‘menteri pintu belakang’ yang tidak perlu

Oleh Liew Chin Tong


najib razak


JEMAAH Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah dipenuhi dengan ramai pak menteri, salah satu jemaah yang paling besar dalam sejarah Malaysia.

Tidak cukup lagi, sekurang-kurangnya seramai lapan ahli parlimen atau bekas menteri dilantik sebagai Penasihat atau Duta Khas kepada Perdana Menteri. Gaji yang diberi kepada Penasihat dan Duta Khas lebih lumayan daripada Menteri atau Timbalan Menteri.

Kabinet Najib menpunyai 36 menteri penuh dan 32 timbalan menteri. Wujudnya sepuluh menteri dan dua timbalan menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (JPM) sendiri. Terdapat hanya lima orang menteri dalam JPM sebelum pilihanraya 2013.

Menurut jawapan bertulis Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang saya terima mengenai jumlah dan peranan Duta Khas dan Penasihat kepada Perdana Menteri semasa Perbahasan Bajet 2016 Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat:

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pelantikan mereka diberi mengikut tanggungjawab tertentu yang telah ditetapkan berdasarkan kepakaran masing-masing. Mereka mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut di dalam membantu kerajaan melaksanakan program-program yang telah dipertanggungjawabkan.

“Selain itu, mereka mempunyai hubungan kerjasama yang baik dengan negara lain berdasarkan bidang tugas dan pengalaman mereka sebelum ini. Kerajaan hanya membayar gaji dan elaun mengikut kelayakan masing-masing berdasarkan kepakaran yang diberi. Seramai lapan Duta Khas dan Penasihat telah dilantik seperti berikut:
  • Datuk Seri Dr  Abdullah Bin Md Zin, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri;
  • Datuk Seri Zainal Abidin bin Osman, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara;
  • Tan Sri Datuk Seri Utama Rais Yatim, Penasihat Hal Ehwal Social dan Kebudayaan kepada Kerajaan Malaysia;
  • Tan Sri Ong Ka Ting, Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China;
  • Datuk Seri Tiong King Sing, Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur merangkumi Jepun, Korea Selatan dan Taiwan;
  • Datuk Seri S. Samy Vellu, Duta Khas ke India dan Asia Selatan Dalam Bidang Infrastruktur;
  • Datuk Seri Shahrizat Binti Abdul Jalil, Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita; dan
  • Datuk Seri Shaziman Bin Abu Mansor, Penasihat Perdana Menteri
Menurut Senarai Perjawatan 2016 (Maksud Bekalan 6 – Jabatan Perdana Menteri, muka surat B06-1 hingga B06-15, gaji rasmi bulanan (tidak termasuk elaun ahli parlimen dan elaun-elaun lain) untuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri ialah:
  • Perdana Menteri                              RM22,826.65
  • Timbalan Perdana Menteri               RM18,168.15
  • Menteri                                           RM14,907.20
  • Timbalan Menteri                            RM 10,847.65
Gaji rasmi yang tersenarai dalam Senarai Perjawatan 2016 adalah seperti berikut:~
  • Duta Khas ke India dan Asia Selatan Dalam Bidang Infrastruktur (Samy Vellu): RM 27,227.20
  • Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Zainal Abidin Osman, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang): RM 22,500.00
  • Penasihat Pembangunan Keusahawan dan Ikhtisas Wanita (Sharizat Abdul Jalil, Ketua Wanita UMNO): RM 27,227.20
  • Penasihat Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan (Rais Yatim): RM 27,227.20
  • Penasihat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (Jawatan ini tidak disenaraikan oleh Azalina dan saya difahamkan dipegang oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar): RM 27,227.20
  • Penasihat Agama Islam kepada Perdana Menteri: RM 14,907.20
Difahamkan Ong Ka Ting dan Tiong King Sing tidak menerima gaji untuk tugasan mereka. Tidak ada maklumat mengenai gaji Shaziman Abu Mansor.

Walau bagaimanapun, setiap Penasihat atau Duta Khas diperuntuk dengan empat hingga lapan orang pegawai dan pembantu seperti yang diperuntukan untuk seorang menteri penuh.

Lantikan bekas ahli politik sebagai duta-duta ke luar negeri bukan amalan baru yang diterima walaupun bilangannya haruslah dikawal supaya lebih ramai duta datang dari kalangan diplomat kareer.

Yang tidak boleh diterima adalah apa yang saya gelarkan sebagai “duta palsu”, iaitu duta khas kepada Perdana Menteri yang tidak tertakluk dalam struktur Wisma Putra.

Saya difahamkan pertindihan diantara duta-duta khas dengan Wisma Putra lazimnya berlaku dan amalan memberikan gelaran duta khas untuk ahli-ahli politik Barisan Nasional perlulah dihentikan.

Jawatan-jawatan Penasihat kepada Perdana Menteri yang bertaraf menteri dan diberikan gaji yang lebih tinggi daripada menteri adalah salah dari segi amalan Kerajaan Kabinet. Semua Penasihat-penasihat bertaraf “menteri pintu belakang” sepatutnya digugurkan jawatan.

* Liew Chin Tong ialah Ahli Parlimen Kluang


Tiada ulasan: