[ULASAN] “Kini
sudah heboh, siapa sebenarnya yang berkuasa dalam Dewan Undangan Negeri
Pulau Pinang, PKR 5 (yang berkecuali) atau PKR 4 (yang menolak),” kata
Ketua Menteri negeri itu Lim Guan Eng dalam satu kenyataan kelmarin.
Beliau
merujuk pada tindakan lima ADUN PKR negeri itu yang bertindak tidak
mahu mengundi usul yang dibawa oleh Barisan Nasional berhubung isu
penambakan laut di Pulau Mutiara itu. Maknanya tidak menyokong dan tidak
menentang.
Menurut Guan Eng, langkah berkecuali yang diambil ketua whip PKR, Ong
Chin Wen dan empat ADUN PKR lain itu membayangkan kumpulan lima wakil
PKR “tidak percaya” kepada kepemimpinan PKR negeri di bawah Timbalan
Ketua Menteri, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Ini kerana, katanya, Chin Wen ada memberitahu seorang pemimpin
kebangsaan PKR mengenai hasrat untuk berkecuali tetapi tidak memaklumkan
kepada kerajaan mahupun exco-exco PKR negeri itu.
Guan Eng menegaskan bahawa Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mengiktiraf
ADUN PKR di bawah pimpinan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid
Hasnon sahaja dan bukan yang dipimpin oleh Ketua Whip parti itu.
Beliau menyimpulkan kini ada dua kumpulan dalam kalangan wakil rakyat
PKR di Dewan Undangan Negeri iaitu satu dipimpin ADUN Pantai Jerejak
(Mohd Rashid) dan satu lagi blok ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen (Ketua
Whip).
Datuk Mohd Rashid Hasnon disifatkannya memimpin dua anggota Exco, Dr
Afif Bahardin dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim serta timbalan speaker
Datuk Maktar Shapee. Lima ADUN lain akur pada Ong Chin Wen.
"Kerajaan negeri hanya mengiktiraf pimpinan Datuk Rashid kerana beliau dipilih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Sekilas pandang boleh dirumuskan bahawa Guan Eng kini mula bersikap
kritis terhadap PKR dan cara kepimpinannya. Beliau dengan lantang
menuduh bahawa kelima-lima ADUN PKR berkenaan kini “memihak pada Umno”.
Umum maklum, kenyataan-kenyataan hampir sama pernah dilontarkan oleh
beliau berhubung corak kepemimpinan PAS. Sikap dan pemikiran politik
presiden PAS dikritik hebat hingga mendorong kepada perpecahan dalam
PAS.
Ramai pemimpin PAS yang terkesan dengan kritikan pedas Guan Eng
terhadap Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. Ada yang mempertahankan
beliau dan ada yang terpengaruh dengan pemikiran kritis Guan Eng.
Natijahnya, ramai pemimpin yang kebetulan tewas dalam pemilihan
kepimpinan PAS Jun lalu yang mengambil kesempatan bersandar pada hujah
dan kritikan Guan Eng itu dan menyimpulkan kepimpinan Hadi sudah hilang
halatujunya.
Malah seperti dalam kes lima ADUN PKR berkenaan Guan Eng juga menuduh
bahawa Hadi mahu memimpin PAS supaya menjalin kerjasama politik dengan
Umno-BN!
Maka lahirlah Parti Amanah Negara (Amanah) yang kini cuba menyaingi PAS
pada setiap sisi politik. Ini termasuk menawarkan diri untuk
menggantikan kedudukan ahli-ahli PAS dalam Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT), Pulau Pinang.
Dalam kes PKR Pulau Pinang, lima wakil rakyatnya memilih berkecuali
sewaktu undian dijalankan terhadap usul Muhamad Farid Saad (BN-Pulau
Betong).
Wakil Umno dalam usulnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)
20 November lalu mencadangkan semua projek penambakan tanah di laut bagi
tujuan pembangunan seharusnya tertakluk pada perdebatan umum.
Lima ADUN berkenaan ialah Ong Chin Wen (Bukit Tengah); Dr Norlela
Ariffin (Penanti); Lee Khai Loon (Machang Bubuk); Cheah Kah Peng (Kebun
Bunga) dan Dr T.Jayabalan (Batu Uban).
PKR mempunyai 10 kerusi DUN. Dua lagi ADUN PKR, Datuk Law Choo Kiang
(Bukit Tambun) dan Datuk Maktar Shapee (Sungai Bakap) tidak boleh
mengundi kerana mereka adalah speaker dan timbalan speaker DUN.
Walaupun usul BN itu tidak diterima Dewan, Guan Eng pantas menjalankan
jarum politiknya untuk “meracun” PKR pula. Beliau bermula dengan
menghebahkan soal masalah kepimpinan parti itu di Pulau Pinang.
Ini
dilakukannya meskipun maklum pendirian PKR dalam isu ini. Pengarah
Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, partinya berpendapat usul memohon
projek tebus guna tanah patut melalui proses kaji selidik alam sekitar
yang menyeluruh, adalah baik.
Fahmi berkata, pada dasarnya PKR memang tidak bersetuju dengan
pendirian Umno berkenaan isu itu. Bagaimanapun pada dasarnya PKR
membenarkan pengundian mengikut suara hati atau “conscience vote”, di
dalam isu-isu tertentu.
"Pengundian lima ADUN PKR pada Jumaat lalu adalah berdasarkan
'conscience vote' ini kerana ia merupakan suatu isu alam sekitar yang
rumit," kata Fahmi dalam satu kenyataan.
PKR juga katanya berpuas hati dengan penjelasan lima ADUN itu dan
beranggapan “conscience vote” adalah amalan demokrasi biasa yang perlu
digalakkan di negara ini.
"Pada masa yang sama, saya memohon agar tiada lagi kenyataan yang
dibuat pimpinan PKR kerana perkara ini boleh dibincangkan dengan lebih
lanjut di peringkat Pakatan Harapan," tambahnya.
Bagaimanapun Lim Guan Eng terus “menekan” PKR supaya menilai dengan
teliti keputusan lima ADUN berkenaan apabila tanpa silu beliau
mengatakan pendirian lima wakil PKR bersifat "bersama Umno".
Speaker
Datuk Law Choo Kiang menolak usul itu selepas 23 ahli dewan menentang,
10 menyokong dan lima tidak mengundi. Namun yang peliknya usul itu turut
disokong ahli DAP Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah).
Yang pasti Guan Eng tidak akan membiarkan Yee Cheu terlepas begitu
sahaja. Ini memang doktrin kepimpinan Guan Eng yang tidak akan
mengizinkan ahli DAP bertindak mengikut hati mereka. Kebenaran dan
keadilan mesti mengikut pemimpin sepertinya sahaja.
Apakah PKR tidak sedar bahawa apa yang ditebarkan Guan Eng pada PAS
kini mula cuba ditaburkan pula dalam belanga politik parti mereka pula?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan