Rabu, 25 November 2015

Peguam Muslim tuntut Obama tarik balik kenyataan


AS mahu tingkatkan hubungan rantau Asean
Obama menyatakan pandangan beliau pada mesyuarat dewan bandar dengan alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara di kampus Lakeside Universiti Taylor. - Foto Bernama
 

SHAH ALAM - Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyatakan bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) atas kenyataan yang dikeluarkan Presiden AS, Barack Obama berhubung konsep perkahwinan sejenis ketika lawatannya ke negara ini, minggu lalu.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menyifatkan kenyataan itu kurang sopan dan menuntut Obama menarik balik kenyataan tersebut.

"Kami berhasrat untuk merakam bantahan dan tuntutan lanjut kepada Presiden AS agar segera menarik balik kenyataan itu dan meminta maaf kepada Malaysia," katanya melalui surat kepada Duta Besar AS, Joseph Y. Yun.

Sabtu lalu, Obama dilaporkan berkata, negara patut menghormati hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai hak asasi.

Kata Obama, polisi kerajaan mengenai perkahwinan juga perlu adil kepada semua pihak termasuk perkahwinan sejenis.

Kenyataan itu dibuat ketika menjawab soalan daripada belia biseksual dari Thailand bernama Dara yang bertanya sekiranya seseorang patut dipenjarakan kerana orientasi seksualnya.

Melalui surat itu juga, Zainul menegaskan negara ini konsisten menolak kegiatan yang berkaitan dengan LGBT.

"Kami mengambil maklum keputusan Mahkamah Agung AS yang membenarkan perkahwinan sejenis.
"Namun, keputusan itu tidak boleh terpakai untuk negara berdaulat lain seperti Malaysia yang mendukung nilai-nilai moral teras yang berbeza.

"Di Malaysia, kami berpegang kepada nilai teras keagamaan dan tradisional yang membentuk identiti kami," katanya.


Tiada ulasan: