Ahad, 15 November 2015

PAS tidak tergugat dengan kehadiran PH di Kelantan - Menteri Besar

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kedudukan PAS di Kelantan tidak tergugat meskipun terpaksa bersendirian untuk berdepan dengan gabungan pembangkang baru, Pakatan Harapan (PH) selain seteru utamanya Barisan Nasional (BN).
 
Malah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob yakin PH dianggotai PKR-DAP-Parti Amanah Negara (Amanah) tidak mempunyai pengaruh dan kekuatan di peringkat akar umbi di negeri itu.
 
"Di Kelantan ini DAP tiada, PKR pun satu kerusi sahaja dan PKR selama ini menumpang jentera PAS," katanya kepada Antarapos.
 
Tambah beliau, PAS yang sudah bertapak lama di Kelantan selain menjadi pemerintah sejak 1990 mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak mudah untuk diganggu gugat parti lain.
 
PAS juga katanya, amat bertuah kerana mempunyai penyokong yang setia dengan parti meskipun PAS diserang bertalu-talu sekutu atau seteru politik mereka.
 
"Sebenarnya PAS mempunyai cukup kekuatan, jadi Amanah cuba nak tarik ahli PAS yang mana saya rasa dia boleh tarik ahli PAS tapi tidak begitu ramai.
 
"Yang sebenarnya (PAS) tidak tergugat sebab DAP tidak ada dan PKR sememang suara sahaja di mana jentera dia selama ini sebenarnya jentera PAS dan PKR tidak boleh mendabik dada di Kelantan," katanya.
 
Lantas Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS ini menegaskan kedudukaan parti itu tidak mudah goyah dan tiada masalah untuk terus mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
"Bagi saya kekuatan PAS ialah kekuatan yang sebenar, itulah pada saya," katanya.
 
Pertengahan minggu lalu, beberapa pemimpin PH berkunjung ke Kelantan bagi merasmikan pergerakan gagasan itu.
 
Umum mengetahui PAS tidak dijemput untuk menyertai PH selepas 'berputus kasih' dengan DAP dan parti serpihannya, Amanah. 


Tiada ulasan: