FUZHOU: Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menamatkan
rentetan 5 kekalahan kepada Lin Dan, untuk memastikan tiket ke final
Siri Super Premier Terbuka China di Fuzhou, esok.
Kemenangan 17-21, 21-19, 21-19 dalam aksi mendebarkan selama 92 minit
itu adalah yang pertama untuk Lee ke atas Lin Dan dalam tempoh 46 bulan
selepas kali terakhir melakukannya di final Terbuka Korea, Januari 2012,
sekali gus menjadikan rekod pertemuan mereka kepada 10-25.
Dalam aksi separuh akhir hari ini, Lee menunjukkan kekentalannya
selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menjinakkan
lawannya yang kerap menjadi penghalangnya menjuarai kejohanan utama di
Sukan Olimpik dan Kejuaraan Dunia.
Namun Lee, 33, yang memburu gelaran keempatnya musim ini dan yang kedua
dalam Siri Super selepas Terbuka Perancis bulan lepas, berdepan satu
lagi tugas berat apabila juara dunia, Chen Long menantinya di final
esok.
Chen Long, juara edisi 2010, 2012 dan 2013, mara ke final selepas
menundukkan pemain Korea Selatan, Son Wan Ho 21-11, 21-17 dalam satu
lagi aksi separuh akhir.
Sementara itu, juara bertahan Saina Nehwal dari India mara ke final
perseorangan wanita selepas menundukkan pemain tuan rumah Wang Yihan
21-13, 21-18 di separuh akhir.
Di final, Saina akan menentang seorang lagi wakil tuan rumah, Li Xuerui
yang menundukkan rakan senegaranya Wang Shixian 21-14, 21-5 dalam satu
lagi aksi separuh akhir.
Final acara beregu lelaki akan menyaksikan pertemuan Chai Biao/Hong Wei
dari China menentang wakil Korea Selatan, Kim Gi Yung/Kim Sa Rang
manakala beregu wanita akan mempertemukan Misaki Matsutomo/Ayaka
Takahashi dari Jepun dengan pasangan China, Tan Yuanting/Yu Yang. -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan