Jumaat, 6 November 2015

Najib tak letak jawatan biarpun Bajet 2016 ditolak

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim 
SHAH ALAM -  Kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri tidak akan terjejas malah akan terus berkuasa walaupun ahli Parlimen pembangkang mendapat cukup sokongan untuk menang usul tidak percaya terhadap Bajet 2016.

Demikian kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sambil menegaskan penolakan belanjawan negara itu hanya akan menjejaskan penggajian penjawat awam dan menyusahkan rakyat.

“Sekiranya bajet berjaya ditolak, ia hanya memeritkan urusan harian rakyat tergantung termasuk gaji kakitangannya yang tidak boleh dibayar akibat tindakan itu.

“Akan tetapi langsung tidak mengancam kedudukan Perdana Menteri mahupun BN yang menjadi fokus untuk ditumbangkan kerana tidak amanah. Percayalah Najib tetap tidak akan meletakkan jawatan walaupun bajetnya ditolak,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung, Lim Guan Eng pada Ahad menyifatkan keputusan Pas yang tidak menyokong usul penolakan Bajet 2016 menunjukkan bahawa parti Islam itu mahu bekerjasama dengan BN.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, beliau kesal dengan tindakan Pas menolak usul terbabit yang sekaligus dilihat menolak undi tidak percaya Pakatan Harapan terhadap Perdana Menteri itu.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga berkata walaupun Pas sedar bahawa Bajet 2016 ‘pembuka laluan’ kepada kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang lebih tinggi pada belanjawan akan datang, namun rakyat tidak perlu menjadi mangsa politik dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Pas tidak mahu menghantar mesej bahawa kami membantah gaji kakitangan dan pencen pegawai kerajaan dinaikkan dan begitu juga bonus yang diharapkan mereka untuk mengurangkan beban masa ini yang terdapat dalam Bajet 2016.

“Pengalaman Amerika Syarikat apabila berlaku "goverment shutdown", menyebabkan 800 ribu kakitangan kerajaan persekutuan terpaksa mengambil cuti sementara manakala 1.3 juta lagi terpaksa lapor diri ke tempat kerja tanpa diberitahu bila gaji mereka akan dibayar. Akhirnya, rakyat Amerika menyalahkan pembangkang,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya lagi, walaupun Pas menyokong Bajet 2016, namun ia tidak bermakna parti Islam itu menolak usul undi tidak percaya terhadap Ahli Parlimen Pekan itu yang dibawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Keadaan ini berbeza dengan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, kerana Pas telah mengambil pendirian menyokongnya sekiranya ia dibawa untuk dibahas di Parlimen,” katanya lagi

Tiada ulasan: