Isnin, 16 November 2015

'Bukan terdesak tapi strategi bertapak'


Khalid Samad
Khalid Samad


SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menolak kenyataan beberapa pemimpin Pas Selangor yang menyifatkan parti berkenaan ‘mengacau’ Pas kerana terdesak untuk mendapatkan kerusi bagi bertanding dalam pilihan raya akan datang di negeri ini.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, tindakan tersebut adalah strategi Amanah dalam berpolitik.

“Bukan terdesak, tetapi itu memang strategi kami untuk bertapak di negeri di mana kami mula.

“Perkara ini saya rasa turut dilakukan oleh mana-mana parti politik dan tak ada parti politik yang tak mahu bertapak di tempat di mana mereka bermula,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, Amanah ada pendekatan sendiri dan mereka akan tentukan pendekatan dan pandangan yang lebih baik dan berpengaruh.

“Sebab itu kita tubuhkan Amanah sebab nak tunjuk kepada masyarakat cara berjuang politik Islam yang sepatutnya.

“Sambil itu kita boleh tunjukkan cara yang praktikal dan orang yang sokong kita kena buat macam mana parti politik lain buat iaitu menubuhkan kawasan, cawangan dan sebagainya," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, tidak timbul isu cemburu atau gila kuasa kerana apa yang dilakukan oleh Amanah adalah sebahagian daripada gerak kerja parti mereka.

“Takkan kita nak buat kawasan atau cawangan sendiri dianggap sebagai gila kuasa?

“Dalam soal berpolitik kita tak boleh menunjukkan cara yang sempit, sebaliknya kita kena tunjuk cara yang paling baik berkesan dan sesuai dengan keadaan semasa,” katanya.

Menurutnya, Pas sepatutnya menunjukkan rasa hormat dengan cara yang digunakan oleh Amanah dalam berpolitik, bukan mengkritik dengan mengatakan mereka terdesak atau cemburu.

“Biar kita berpolitik cara matang supaya dapat lihat perbezaan pandangan dan cuba manfaatkannya untuk kebaikan semua,” katanya.

“Pas ada cara mereka dan kami juga ada cara kami yang harus diteruskan dan dihormati,” katanya.

Khalid yakin sekiranya Pas menghormati Amanah, mereka pasti dapat bersama-sama menguatkan kedudukan pembangkang dan mencapai misi untuk menumbangkan Umno dan BN.

“Kita datang nak menyelamatkan keadaan berkenaan dengan satu kaedah yang akan dapat sokongan orang ramai dengan tujuan nak jatuhkan BN.

“Cara yang terbaik untuk Pas dan Amanah ialah saling menghormati antara satu sama lain dan mengukuhkan pembangkang dengan bekerjasama,” katanya.

Bercakap mengenai keengganan Pas untuk berunding dengan Amanah bagi menyertai Pakatan Harapan, Khalid berkata, mereka akur dengan tindakan parti berkenaan.

“Kalau dia tak nak kita nak buat macam mana? Takkan kita nak ‘tutup kedai’ sebab dia tak setuju. Kita juga boleh minta Pas ‘tutup kedai’ pasal kita tak setuju.

“Lalu masing-masing buatlah kerja masing-masing, akui benda dah wujud dan fikirkan cara yang terbaik untuk manfaatkan kekuatan serta sokongan bagi menjatuhkan Umno dan BN,” katanya.

Bagaimanapun, Amanah akan tetap dengan pendirian mereka iaitu mendapatkan sokongan ahli Pas dan dan seluruh anggota masyarakat untuk membina kekuatan.

“Dasar perjuangan kita dengan Pas sama tapi pendekatan kita berbeza dan kami yakin pendekatan Amanah lebih tepat dan sesuai dengan kehendak semasa.

“Kita rasa kaedah yang Pas bawa tidak akan menyebabkan Umno itu jatuh malah akan menyebabkan lebih ramai orang tak bersama dengan Pas dan menyokong Barisan Nasional,” katanya.


Tiada ulasan: