SABAK BERNAM – Hasrat seorang wanita untuk berbuka puasa dengan
menjamah makanan yang dibeli kakaknya di Bazar Ramadan Sungai Besar
terbantut selepas tiga jenis makanan itu didakwa berbau busuk.
Fatin Elyanie Mohd Anuar, 24, berkata, dua jenis lauk iaitu ikan keli
masak cili api dan ikan tilapia masak tumis masing-masing dibeli dari
premis sama, manakala laksa pula di premis berasingan.
Katanya, makanan yang dibeli kira-kira jam 6 petang di bazar itu dibawa
pulang ke rumah untuk juadah berbuka puasa mereka sekeluarga,
bagaimanapun tekaknya tiba-tiba berasa loya sebaik menjamah makanan
berkenaan.
“Memang teruja nak makan ikan keli dan tilapia pada waktu berbuka, tapi
sebaik lauk itu dikunyah, saya nak termuntah sebab rasa lembik dan bau
busuk,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dia kemudiannya mencuba untuk menikmati juadah laksa, namun
hilang selera makan selepas makanan itu berbau hanyir dan busuk.
“Kami amat kecewa dengan sikap peniaga yang lebih pentingkan keuntungan
daripada jaga kualiti makanan yang dijual. Mungkin mereka beli ikan
lama yang lebih murah untuk dimasak sebelum jualnya kepada pelanggan,”
katanya.
Fatin Elyanie berkata, Pejabat Kesihatan Sabak Bernam dan Majlis Daerah
Sabak Bernam (MDSB) diharap menjalankan tindakan pemantauan dan
penguatkuasaan berterusan dan bertindak terhadap peniaga terbabit.
“Pengusaha makanan perlu peka terhadap kualiti produk yang dijual walaupun berniaga di bazar Ramadan.
Sikap penjual macam ini tak boleh dibiarkan dan kita harap pihak berkuasa pandang serius perkara ini,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu jika tidak dibendung dikhuatiri boleh
menyebabkan keracunan makanan kepada pembeli lain yang menikmati
hidangan tersebut
“Kami pengguna ada hak sebab dah bayar untuk beli makanan. Janganlah
terlalu kejar keuntungan sampai makanan yang dijual tercemar dan boleh
beri kesan kepada kesihatan pelanggan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan