MALAYSIAKINI
Datuk Seri G Palanivel menegaskan bahawa beliau masih lagi presiden MIC,
dan menolak dakwaan saingannya bahawa Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak
lagi mengiktirafnya sebagai seorang ahli parti itu.
Menurut Bernama, Palanivel berkata beliau tidak menerima apa-apa surat daripada ROS mengenai status keahliannya.
"Saya tidak akan mengulas tentang berita ini dan saya akan tanganinya
kemudian jika perlu," katanya selepas mempengerusikan apa yang beliau
sifatkan sebagai mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) hari ini.
Terdahulu hari ini, Datuk Seri Dr S Subramaniam mendakwa beliau telah
menerima surat daripada ROS yang mengesahkan bahawa Palanivel tidak lagi
menjadi ahli parti. Menurutnya, ROS juga mengiktirafnya sebagai
pemangku presiden parti.
Bagaimanapun, Palanivel meragui kesahihan surat tersebut dan
mentertawakan cadangan wartawan bahawa Subramaniam kini pemangku
presiden.
"Dr Subramaniam... pemangku presiden? Bagaimana beliau boleh menjadi
pemangku presiden sedangkan saya adalah presiden?," katanya.
Palanivel kemudiannya mendedahkan bahawa mesyuarat yang dipengerusikan
beliau telah membuat tiga ketetapan, termasuk resolusi bahawa lima
anggota MIC yang memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan
ROS supaya pemilihan semula diadakan, masih menjadi anggota parti itu.
Lima orang ahli, termasuk Palanivel, gagal dalam usaha mereka untuk mencabar arahan ROS itu.
Kumpulan Subramaniam pula berhujah bahawa Palanivel dan empat yang lain,
bukan lagi menjadi anggota MIC kerana membawa perkara parti ke
mahkamah.
Perkara 19 Perlembagaan MIC menetapkan bahawa mana-mana anggota MIC yang
berbuat demikian secara automatik tidak lagi menjadi ahli parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan