Cuepacs, yang mewakili 140 kesatuan, turut memuji kakitangan pejabat yang menggunakan wang mereka sendiri untuk membeli kain bagi pengunjung yang tidak mengenakan pakaian sewajarnya.
Cuepacs juga akan menghantar sijil penghargaan kepada ahli Ikatan Sukarelawan Rakyat (Rela) yang menjadi perhatian berhubung kontroversi kod berpakaian di hospital Sungai Buloh, kata presidennya Datuk Azih Muda, hari ini.
Ini berikutan surat penghargaan sama dihantar kepada pengawal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang memberikan kain kepada pengunjung memakai skirt yang melanggar kod berpakaian.
Azih berkata, kod pakaian di semua pejabat dan bangunan kerajaan wujud dan kakitangan awam hanya melakukan tugas mereka dengan menguatkuasakan kod.
"Tujuan kod pakaian adalah memastikan orang ramai berpakaian sopan, ia boleh digunakan kepada semua orang. Anda tidak boleh pergi ke rumah seseorang dengan cara berpakaian yang anda suka," kata Azih kepada pemberita hari ini.
"Tetapi tiada siapa yang harus dipersalahkan dalam kejadian ini. Kakitangan tidak salah kerana mematuhi peraturan dan pelanggan juga tidak salah kerana mereka mungkin sudah lupa tentang etika berpakaian.
"Pihak yang bersalah bersalah adalah mereka yang menghantar komen dan mensensasikan sesuatu yang tidak patut disensasikan."
Pengawal JPJ menyebabkan kekecohan di media sosial apabila mengarahkan seorang wanita yang pergi ke jabatan itu di cawangan Gombak memakai kain sarung. Wanita berkenaan memakai skirt pendek di atas lutut.
Pada 16 Jun, seorang lagi wanita diarahkan menutupi kaki sebelum dibenarkan masuk ke dalam hospital Sungai Buloh. Dia tidak diberi kain untuk dipakai tetapi membungkus dirinya dengan selimut milik hospital.
Kira-kira seminggu kemudian, dua orang wanita dihalang daripada memasuki ibu pejabat kerajaan Selangor di Shah Alam kerana memakai skirt di atas paras lutut mereka.
JPJ dan hospital mengeluarkan permohonan maaf kepada wanita yang terlibat dalam tiga kejadian itu, selepas menerima cemuhan orang ramai termasuk bekas menteri.
Kerajaan Selangor turut mengeluarkan permohonan maaf sama.
Cuepacs menggesa mereka yang melawat institusi kerajaan agar mematuhi kod berpakaian untuk mengelakkan kejadian sama pada masa akan datang.
"Jika semua orang mematuhi peraturan dan saling menghormati, tidak akan ada apa-apa isu," kata Azih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan