GEORGETOWN - Polis sudah merekodkan percakapan enam individu bagi
membantu siasatan berhubung kes cubaan membakar dan membaling cat di dua
pusat khidmat Adun DAP dan ibu pejabat DAP negeri di sini minggu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya
menerima lima laporan berhubung kejadian itu termasuk dua mengenai
kejadian membakar bendera DAP dalam satu perhimpunan di pekarangan
Komtar Selasa lalu.
Menurutnya, polis tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang
cuba mengganggu gugat ketenteraman awam dan mengambil tindakan tegas
jika mereka yang terlibat berjaya ditangkap.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita berharap semua pihak memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan.
"Saya memberi amaran kepada mana-mana pihak agar menghentikan perbuatan
khianat atau bakal dikenakan tindakan tegas jika berjaya dikesan
polis," katanya ketika ditemui pada majlis pelupusan dadah di sini hari
ini.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kejadian membaling cat dan cubaan
membakar pusat khidmat Adun Komtar, Teh Lai Heng di Jalan Talipon dan
Pusat Khidmat Adun Padang Kota, Chow Kon Yeow di Kompleks Jalan Kedah
Ahad lalu.
Turut menjadi sasaran pejabat DAP negeri di Jalan Rangoon apabila
disimbah cat merah di bahagian pintu hadapan oleh seorang lelaki pada
hari berikutnya .
Kejadian yang berlaku sekitar jam 10.50 malam berjaya dirakam CCTV yang dipasang di bangunan berkenaan.
Abdul Rahim berkata, kes menyimbah cat di pejabat pusat khidmat DAP di
Jalan Talipon dan pejabat DAP negeri disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun
Keseksaan.
Kejadian cubaan membakar sebuah lagi pusat khidmat parti itu di
Kompleks Jalan Kedah akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan
atas kesalahan melakukan khianat dengan api.
Menurutnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun
Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan
keamanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan