Jumaat, 26 Jun 2015

Pihak siar gambar anak Harith Iskander dikesan

SINAR HARIAN
 
 
Harith Iskander berang gambar anak dalam web lucah Paparan Facebook Harith Iskander

 
PETALING JAYA - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi jaminan akan menjejaki pihak yang bertanggungjawab menyiarkan gambar anak seorang pelakon komedi di sebuah laman web pornografi kanak-kanak.

Beliau berkata pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah menghubungi pelakon itu, Harith Iskander, bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil, termasuk menyekat laman web berkenaan.

"Kita tahu jika ada laporan tentang adanya portal atau laman tertentu yang digunakan atau dijadikan alat bagi tujuan pornografi kanak-kanak kita akan bertindak untuk menyekat laman berkenaan.

"Bagaimanapun lebih daripada itu kita akan cari siapa 'source' nya dan mereka yang bertanggungjawab," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas melancarkan 'Digi Empower Societies', yang direka khas untuk menggabungkan pelbagai program masyarakat yang memberi akses penuh Web kepada semua.

[ARTIKEL BERKAITAN: Harith Iskander berang gambar anak dalam web lucah]

Ahmad Shabery berkata demikian ketika diminta mengulas posting pelakon komedi berkenaan di laman Facebook miliknya berhubung gambar anak lelakinya yang berusia tiga tahun bersama gambar kanak-kanak lain disiarkan di sebuah laman web pornografi kanak-kanak.

Harith menyedari perkara itu selepas mendapat notifikasi 'Google Alert' menerusi emailnya pada Rabu berhubung satu laman web yang telah gambar anak beliau dan anak beberapa artis lain yang turut memaparkan imej grafik lucah.

Susulan itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail hari ini selain laporan kepada SKMM berhubung perkara itu.  - Bernama

Tiada ulasan: