MALAYSIAKINI
Seorang senator menggesa bagi diwajibkan pemeriksaan fizikal lebih kerap
dalam kalangan anggota tentera dan polis, menyatakan masalah kegemukan
atau obesiti dalam kalangan mereka perlu diambil perhatian oleh pihak
berwajib.
Datuk Norliza Abdul Rahim berkata seorang doktor yang pernah berkhidmat
dalam tentera pernah memberitahunya tentang masalah obesiti dalam
kalangan anggota dan kematian mereka akibat sakit jantung.
Masalah kegemukan dan obesiti telah menyukarkan anggota keselamatan
untuk menunaikan tanggungjawab dengan cekap, cepat dan efisien termasuk
untuk menangkap penjenayah, katanya ketika membahaskan Usul Rancangan
Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Negara semalam.
Katanya sehubungan itu Kementerian Kesihatan perlu bekerjasama dengan
Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan
setiap anggota keselamatan mempunyai berat badan ideal dan kekal cergas
serta sihat dalam tugasan harian.
Norliza turut menyentuh isu perumahan yang membebankan golongan
berpendapatan rendah dan pertengahan dengan projek perumahan ketika ini
tidak
menyediakan rumah mencukupi untuk golongan tersebut.
"Sekarang ni tiada rumah bersesuaian untuk mereka. Pemaju membina rumah
mahal, jadi bagaimana golongan ini mampu membelinya sekiranya rumah
mampu milik tidak dibina dengan begitu banyak.
"Golongan ini amat bermasalah dalam isu perumahan, sering tertindas dan
tidak mampu kerana rumah semakin mahal namun perhatian daripada kerajaan
tidak diberikan," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan