TV AlHijrah terus hasilkan program mesra syariah
 
 
KEHENDAK arus kemodenan dan penonton yang semakin bertambah membawa satu lagi revolusi baharu dalam dunia penyiaran tempatan.

Menyedari jalur penyiaran mampu membawa pelbagai manfaat kepada penonton, kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri memperkenalkan saluran TV AlHijrah yang dikendalikan oleh AlHijrah Media Corporation pada 2010.

Tidak hanya menumpukan kepada penonton beragama Islam, TV AlHijrah juga sesuai ditonton oleh semua masyarakat berbilang kaum di negara ini andai mereka ingin mengetahui lebih mendalam tentang nilai dan budaya dalam kehidupan masyarakat Islam itu sendiri.

Pembaharuan dinamik itu ternyata berjaya membawa pendekatan penyiaran yang berorientasikan Islam bertepatan dengan kandungan yang telah disusun dan disiarkan untuk tontonan masyarakat.

Justeru, sempena ulang tahun keempat stesen tersebut yang jatuh pada 1 Muharam, bersamaan 25 Oktober ini, TV AlHijrah mengadakan kempen 'Temasya 2 Minggu' dan membawakan hampir 20 program istimewa mulai 20 Oktober ini sehingga 2 November depan.

Menerusi satu sidang media yang disusun baru-baru ini Zass, mendapatkan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Wan Alias Wan Abdullah bagi mengulas lanjut mengenainya.

Tahniah kepada TV AlHijrah kerana bakal meraikan ulang tahun keempat tidak lama lagi. Setakat ini, bagaimanakah respons penonton yang diterima?

Terima Kasih. Alhamdulillah, respons yang diberikan oleh penonton sangat baik terutamanya kepada program-program yang diterbitkan sendiri oleh produksi TV Al Hijrah dan kami menyasarkan angka tersebut akan terus meningkat pada masa hadapan.

Paling tidak disangka dan membuatkan kami di TV Al Hijrah sangat bersyukur apabila purata tontonan dicatat sekarang mampu mencecah sehingga 2.2 juta orang berbanding hanya 10,000 tontonan saja dulu. Sehingga Ogos lalu, boleh dilihat peningkatan penonton TV Al Hijrah cukup positif yang mana pertambahan berlaku sebanyak 50 peratus tontonan.

Bagi memastikan rating terus meningkat, apakah strategi yang dilakukan untuk memastikan ia sentiasa memenuhi kehendak penonton?

Sebenarnya, peningkatan rating berkait rapat dengan penyiaran program berkualiti. Kami bertanggungjawab memperoleh dan mengeluarkan program-program yang berkualiti. Bukan itu saja, ia juga seharusnya mengikut tuntutan syariah yang telah ditetapkan.

Jika dilihat kepada kebanyakan drama yang berunsurkan Islamik lebih kepada liberal yang mana tidak mengikut tuntutan syariah. Tambahan pula, kebanyakan cerita lebih kepada jalan yang sama iaitu masalah cinta ataupun harta. Selain itu,

rancangan mesra syariah juga bukan hanya berlandaskan pakaian yang menutup aurat semata-mata, malah ia turut melibatkan akhlak yang baik. Kita dapat lihat kini banyak drama dan filem yang berunsurkan Islamik. Hanya mengenakan jubah dan tudung serta menyelitkan serba sedikit Bahasa Arab dalam skrip, ia sudah dikira Islamik. Namun, rancangan Islamik yang sebenar-benarnya adalah lebih daripada itu. Ia juga harus memaparkan akhlak yang baik. Oleh itu, TV Al Hijrah akan berusaha menghasilkan program dan drama yang berkualiti serta mesra syariah. Rancangan kami pada masa depan adalah untuk memperbanyakkan lagi karya-karya dari negara kita sendiri di samping dapat mengetengahkan garis panduan Islam yang betul.

Seperti yang kita ketahui, bukan TV AlHijrah saja yang berkonsepkan Islamik, jadi bagaimanakah TV AlHijrah menghadapi persaingan?

Ingin saya tegaskan, kami tidak bersaing. Lagi banyak stesen TV yang 'bercakap' mengenai Islam, lagi bagus. Kami menyokong sepenuhnya. Itulah tujuan utama kami. Banyaknya stesen TV yang berkonsepkan Islam ini sekali gus dapat memberi manfaat kepada masyarakat sejagat. Tidakkah ia sesuatu yang bagus? Jika niat hanya untuk bersaing, maka masing-masing tidak akan sampai objektifnya.

Lagipun ramai pekerja yang bertugas di Al Hijrah mempunyai latar dari pelbagai media seperti Media Prima, Astro dan RTM. Malah, saya sendiri dari Media Prima dan hampir 20 tahun berkecimpung dalam bidang penyiaran.

Hakikatnya bukan mudah bagi mana-mana produk mahupun stesen televisyen baharu untuk meyakinkan penonton. Bagaimana pula dengan TV AlHijrah?

Bagi peringkat memperkenalkan TV AlHijrah, memang semua orang sudah kenal dan faham. Persepsi tentang ini sememangnya sudah terlampau jelas. Jika dulu, cabaran kami untuk meyakinkan orang ramai tentang kewujudan TV AlHijrah, kini kami berhadapan dengan proses untuk mencipta nama dan melahirkan lebih banyak lagi rancangan yang berkualiti. Biarpun bermula dari bawah, tetapi kami tahu kami mampu melakukannya dengan sebaik-baiknya. Kita berupaya menyediakan stesen TV Islamik. Begitu juga dengan penghasilan berita yang sudah tentunya punyai asas tertentu. Sebelum menyiarkannya, kita perlu selidik dan mengkajinya.

Memandangkan TV AlHijrah bakal meraikan ulang tahun keempat pada 1 Muharam ini, apakah program-program menarik yang akan  dihidangkan kepada penonton?

Ulang tahun keempat ini bakal diraikan selama dua minggu dengan pelbagai program menarik yang akan ditayangkan. Mengambil tema ‘TV AlHijrah Kita Untuk Semua’ dan antara program menarik yang bakal ditayangkan adalah TV Al Hijrah Suatu Realiti,

Menu Alam Edisi Ulang Tahun, Pentas Dakwah, Dengan Basikal Aku Menjelajah 2 dan Isu Akidah Edisi Ulang Tahun. Tidak ketinggalan drama bersiri Dalam Iradatmu dan dua buah telefilem istimewa berjudul Seindah Maharku dan The Oversized Coat.

Selain itu, Hari Terbuka TV Al Hijrah turut diadakan pada 25 Oktober ini, di perkarangan Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur bagi meraikan sambutan ulang tahun stesen TV berkenaan.