KUALA LUMPUR: Pihak yang membantah penganjuran kempen sentuh anjing bukanlah kerana paranoid, sebaliknya ia adalah lahir dari rasa tanggungjawab untuk memelihara kesucian agama Islam dan keharmonian hidup dalam lingkungan masyarakat majmuk.
Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Nurul Islam Mohamed Yusof berkata, pihaknya tidak menafikan soal menyentuh anjing hanyalah hanya sebahagian daripada masalah bersuci dan seputar persoalan feqah yang terdapat padanya pelbagai perbezaan hukum.
Namun ujar beliau, soal penganjuran program seumpama itu sendiri mesti diperhalusi dengan lebih teliti kerana ia telah menyuburkan kelunturan nilai beragama dan berbudaya yang diwarisi oleh masyarakat negara ini, khususnya umat Islam.
"Sikap menentang penganjuran ini kerana menganggapnya sebagai ancaman kepada nilai beragama dan berbudaya di negara ini bukanlah kerana paranoid.
"Kerisauan kita berasas. Dengan penganjuran 'Topless Friday' pada awalnya, diikuti dengan 'Octoberfest', kemudian disusuli dengan 'I Want to Touch a Dog', kita khuatir esok lusa dianjurkan pula kempen 'Sex & Condom' dengan rasional 'safe sex' bagi mengelakkan HIV/AIDS menular kononnya," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pencegahan program seumpama ini dapat dibuat lebih awal sebelum ia dilaksanakan pada masa-masa akan datang.
Umat Islam katanya perlu meningkatkan kefahaman ilmu Islam dan penghayatan terhadapnya dalam diri dan keluarga masing-masing serta masyarakat sekeliling. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan