Ahad, 5 Oktober 2014

Pesakit Parkinson Pertama Jalani Pembedahan Otak Di UKM

Oleh: NURBAITI HAMDAN

 
Gambar rajah MRI otak pesakit Parkinson menunjukkan sasaran dan trajektori yang terpilih. Ini adalah cara bagaimana pakar bedah memetakan otak untuk memastikan elektrod diletakkan dengan tepat.
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang warga emas yang menderita akibat penyakit Parkinson sejak 2004 menjadi pesakit pertama yang menjalani pembedahan terbuka otak di Pusat Peru
batan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

"Dia (pesakit) kini berada dalam keadaan baik dan kami akan membantunya untuk tidak bergantung kepada ubat-ubatan secara beransur-ansur," kata pakar bedah Dr T.Jegan.

Beliau dan pakar neurologi, Datin Dr Norlinah Mohamed Ibrahim mengetuai pasukan pakar pembedahan ke atas pesakit berusia 67 tahun itu pada 26 September lalu.

Prosedur yang dikenali sebagai pembedahan rangsangan otak dalaman (DBS) itu mengambil masa selama tujuh jam 30 minit.

Pada masa ini, DBS hanya digunakan untuk pesakit yang menghidapi simptom tertentu yang tidak boleh dikawal dengan ubat-ubatan yang mencukupi.

"Pelbagai kajian di seluruh dunia membuktikan bahawa jika dibandingkan dengan kos penjagaan pesakit Parkinson untuk tempoh jangka masa panjang, DBS adalah jauh lebih murah kerana pesakit akan mengurangkan kebergantungan terhadap ubat-ubatan secara beransur-ansur," kata Dr Jegan pada sidang media di hospital tersebut pada Jumaat.

Beliau berkata, pesakit tersebut dari semasa ke semasa menanggung kesan sampingan daripada rawatan yang diterima selepas disahkan menghidap penyakit itu pada 2004.

"Ini mendorong beliau untuk mempertimbangkan kaedah DBS yang merekodkan kejayaan sebanyak 80%," kata Dr Jegan sambil menambah pesakit tersebut menerima pembiayaan daripada kerajaan.

DBS dilakukan sebanyak beratus-ratus kali terhadap pesakit Parkinson di seluruh dunia untuk memperbaiki keadaan mereka tetapi kaedah itu jarang dilakukan di Malaysia kerana kos yang tinggi.

Sebuah bateri (alat perentak jantung) dan elektrod berharga antara RM80,000 dan RM86,000.
Kebanyakan pesakit Parkison mengalami simptom seperti gegaran, kekejangan, pergerakan yang perlahan dan masalah untuk berjalan.

Kaedah DBS mencatatkan peningkatan purata sebanyak 60% hingga 70% dalam naik turun motor dan dyskinesia (kategori gangguan pergerakan) dan terapi perubatan yang terbaik dalam meningkatkan kualiti kehidupan seseorang.

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai prosedur itu, Dr Jegan berkata, pasukan pembedahan memasukan dua elektrod berukuran diameter 1.27mm  setiap satu ke dalam kawasan sasaran di dalam otak pesakit warga emas.

"Elektrod itu disambung kepada perentak jantung yang diimplan di bahagian dada. 
 
"Pesakit dalam keadaan sedar sepanjang prosedur supaya ujian dapat dilakukan dengan serta-merta dan keputusan dapat dilihat didalam bilik pembedahan," katanya.

Untuk pertanyaan, sila hubungi 03-9145 5555 atau layari www.ppukm.ukm.my/web.

Tiada ulasan: