Sabtu, 25 Oktober 2014

Penganjur kempen sentuh anjing mohon maaf

MALAYSIAKINI



 
 
 
Penganjur acara kontroversi 'Saya Mahu Sentuh Anjing', Syed Azmi Alhabshi hari ini tampil secara terbuka dan memohon maaf atas sebarang perasaan “tidak senang yang berbangkit' daripada program itu.

Beliau yang membacakan satu kenyataan muncul dalam satu sidang media turut menyatakan rasa kecewa tindakan segelintir peserta Islam di program itu yang didapati memeluk dan mencium anjing di acara berkenaan.

Katanya, tindakan itu tersasar dari tujuan sebenar acaranya – antaranya untuk memberi pendedahan mengenai kaedah bersuci apabila tersentuh anjing.

Menurut Syed Azmi, ia juga bertujuan untuk mengatasi rasa takut terhadap anjing di kalangan penganut Islam.

Selain itu, ia diadakan bagi menjelaskan cara membantu anjing jika ia berada dalam kesusahan, dan batasan bersama anjing dalam konteks Islam, katanya.

"Di sini saya ingin menegaskan yang program ini sama sekali tidak menggalakkan anjing sebagai binatang peliharaan.

"Kenyataan ini telah kami nyatakan dalam laman sosial kami sejak 19 September 2014," katanya.

Beliau turut menafikan program itu dibuat untuk memesongkan kepercayaan orang Islam dan memperlekehkan ulama.

"Terus terang dengan hati yang ikhlas tujuan saya menganjurkan program ini adalah kerana Allah dan bukan untuk memesongkan akidah, menukar hukum agama, mempersendakan ulama, atau menggalakkan liberalisme," katanya lagi.

Seorang lagi penganjur, Norhayati Ismail turut memohon maaf atas kegagalan pihaknya mengawal acara itu.

Namun tegasnya, pihaknya tidak pernah menggalakkan peserta untuk bermesra-mesra dengan anjing.

"Kami menafikan kami menyuruh orang secara suka-suka kerana sentuh secara suka-suka menurut mazhab Shafie adalah haram.

"Kami akui kelemahan kami. Kami tak dapat kawal acara itu. Kami tak pernah suruh peserta peluk dan cium anjing," katanya.

Jelasnya, mereka yang bertindak memeluk dan mencium anjing mungkin terdiri daripada mereka yang lewat hadir ke program itu.

Katanya, kumpulan itu dan tidak mendengar penerangan dari seorang pendakwah yang berceramah sebelumnya.
 

Tiada ulasan: