Petang nanti, jika kita tidak ada apa rancangan untuk melakukan apa-apa program keluarga, kita boleh mendengar ucapan pembentangan bajet bagi tahun 2015 oleh Dato Seri Perdana Menteri Najib di Parlimen. Pembentangan bajet ini adalah satu yang dilakukan setiap tahun untuk memberitahu rakyat jumlah akan dibelanjakan untuk pengurusan negara dan jumlah wang yang akan diperuntukan untuk pembangunan negara bagi tahun hadapan, dan ianya perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara kita.
Kita tidak tahu apa yang akan
dibentangkan oleh Najib, apakah insentif-insentif untuk rakyat dan bagaimana
kerajaan akan mendapatkan sumber kewangan bagi menguruskan kerajaan dan
pembangunan negara keseluruhannya. Setiap tahun, kecuali semasa kita ditadbir
oleh Mageran dahulu, kita dibentangkan dengan belanjawan negara dan setiap
pembentangan bajet itu adalah untuk kebaikan rakyat dan negara.
Selalu dan biasanya Menteri
Kewangan akan membentangkan cadangan untuk diluluskan oleh Parlimen bagaimana
kerajaan mendapatkan sumber kewangan, dan apa-apa yang perlu seperti yang mana
satu cukai yang akan diturunkan dan yang mana yang dinaikkan atau yang akan dimansuhkan mengikut perincian
dan pertimbangan kerajaan untuk menghadapi rakyat dalam isu perbelanjaan
negara pada tahun berikutnya dan dalam kes ini ialah bagi tahun 2015 nanti.
Tetapi yang pastinya sebahagian
dari tindakan kerajaan dalam bajet tahun hadapan sudah pun dilaksanakan dengan
menghapuskan subsidi bahan bakar sejak dua minggu yang lepas. Kenaikan harga
petrol dan diesel dua minggu yang lepas sudah menunjukan yang kerajaan yang
berslogankan ‘rakyat didahulukan’ sedang menghadapi masalah untuk mengekalkan
subsidi bahan api itu sehinggakan telah dihapuskan subsidi bahan api ini
sebanyak 0.20 sen bagi satu litre.
Slogan ‘rakyat didahulukan’ itu sesungguhnya
dilaksanakan dengan mendahulukan rakyat untuk menanggung masalah diatas
kekurangan sumber kewangan negara kita sekarang ini. Apabila masalah
kewangan
negara meruncing rakyat lah yang mendahului membayar kekurangan dan
mengorbankan
apa yang sedia di nikmati mereka. Dalam mereka sedang dihimpit dengan
kos
kehidupan yang sangat tinggi, rakyatlah yang didahulukan untuk
menanggung beban
kerajaan sekarang ini. Seorang Menteri yang paling lucu, Hasan Malek
telah meminta rakyat bersyukur dengan kenaikan harga petrol dan diesel
itu. Pandangan Menteri ini sungguh melucukan dan jangan diambil hati
dengan kata-katanya itu.
Kita tidak tahu apakah kandungan
ucapan Najib petang ini tetapi yang pastinya pihak media, terutamanya pihak
media perdana sudah siap dan lengkap persediaan mereka untuk membariskan
orang-orang yang bergelar dan bernama seperti professor-professor dan ahli
perbankan yang terkenal dalam negara ini. Mereka akan ditampilkan dikhalayak
ramai melalui kaca-kaca TV dari berbagai-bagai saluran untuk memuji dan
menganggap apa yang akan dibentangkan petang ini merupakan satu bajet yang
terbaik sejak negara merdeka.
Itulah yang selalu berlaku setiap
tahun, bajet setiap tahun itu adalah bajet yang terbaik dari tahun-tahun atau
pemimpin-pemimpin sebelumnya sejak merdeka dahulu. Professor-professor yang
akan tampil dikaca TV pun sudah boleh diagak kerana itu sahajalah muka-muka
yang akan ditonjolkan oleh media perdana kita dan mereka yang memuji itu pun
sedang merangka strategi bajet pembangunan diri mereka masing-masing untuk
tahun-tahun yang akan datang. Kesempatan itu akan mereka gunakan untuk menggeli
pundi-pundi pemimpin yang membentangkan bajet itu walaupun belum pun
berkesempatan untuk membaca teks ucapan yang panjang berjela-jela itu.
Walau bagaimana pun kita tunggu
sahaja ucapan pembentangan bajet petang ini jika ada kelapangan. Kepada mereka
yang sibuk dengan usaha untuk mencari rezki keluarga dan tidak ada masa untuk
mendengar ucapan itu, elok teruskan sahaja tindakan mencari penghidupan kita
kerana apa yang akan dibentangkan itu adalah ‘predictable’ bagi setengah pihak
dan tidak ada apa-apa ‘consequence’ yang memberikan keuntungan kepada rakyat
biasa seperti kita ini.
Pembentangan bajet hari ini
merupakan satu ‘ritual’ tahunan sahaja tanpa mempunyai ‘consequence’ yang besar
kebaikannya terhadap rakyat dan negara. Itulah yang terjadi setiap tahun. Jika
kita hendak mendengar yang baik tontonlah pendapat ‘cendiakawan-cendiakawan’
dari universiti-universiti tempatan petang dan malam ini nanti.
Kita akan mendengar bajet hari
ini sebagai bajet mesra rakyat, bajet yang terbaik dalam sejarah negara, bajet
yang akan memberikan keuntungan kepada rakyat biasa, pemberian BRIM itu
menunjukan kerajaan prihatin tentang masalah mereka, dan berbagai-bagai lagi
pujian dari ‘cendiakawan-cendiakawan’ yang selalu dipanggil ke studio-studio TV
untuk memuji dan menyokong bajet yang dibentangkan oleh Najib nanti.
Jika kita mahu, ‘template-template’
nya boleh di tulis sekarang ini, tetapi kalau ditulis, takut pula ramai yang
tidak seronok mendengar komen-komen mereka nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan