Rabu, 15 Oktober 2014

Nik Abduh: Perlu hormati rakan PR


Ahli Parlimen Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz  
Ahli Parlimen Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz


ISU Pas dibuli yang ditimbulkan Ahli Parlimen Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz benar-benar mencetuskan kegemparan dalam PR. Beliau bukan sahaja jadi sasaran kritikan rakan-rakan PKR dan DAP malahan dalam Pas sendiri. Beberapa minggu lalu, khabarnya sudah naik kain rentang di Pasir Mas yang mendesak Nik Abduh tinggalkan Pas dan sertai Umno.

Ini kerana ada kenyataannya yang dikatakan bukan sahaja untungkan Umno. Ironinya, Nik Abduh adalah anak kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sejak lahir, beliau sudah terdidik dengan perjuangan parti itu.

Apa yang meresahkan mereka yang menentangnya, pandangan Nik Abduh kadang kala dianggap pandangan ayahnya. Benarkah begitu? Kepada Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Muhamad Mat Yakim tokoh muda ini menjawab persoalan itu ketika diwawancara di lobi bangunan Parlimen kelmarin.

Dalam Facebook baru-baru ini. YB melontarkan pandangan bahawa Pas dibuli dalam hubungan dengan PKR dan DAP. Boleh YB huraikan lebih mendalam apa yang YB maksudkan dengan buli?

Saya secara asasnya  mahu buka satu sudut yang jarang dibuka oleh kawan-kawan dalam Pakatan Rakyat iaitu bagaimana kita harus membina hubungan dalam PR sehingga benar-benar berjaya untuk mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya akan datang ataupun bila-bila masa.

Kita boleh berubah iaitu dibina daripada parti-parti dalam PR dengan hubungan yang dibina atas sikap yang benar. Sebab itu, saya timbulkan bahawa kita perlu ada sikap saling hormat-menghormati. Jangan kita bersikap membina persepsi untuk menganggap kawan kita ini benar atau tidak benar. Itulah asas yang saya cuba perbetulkan.

Pandangan YB ini adakah kerana apa yang berlaku kebelakangan ini khususnya dalam isu MB Selangor ataupun sesuatu yang sudah dipendam lama. Maksud saya, dari sudut pandang YB sendiri mengenai hubungan yang dibina atas nama tahaluf siyasi sejak awal ataupun hanya baru-baru ini.

Saya sebut dibuli, ini adalah satu isu baru dalam tulisan saya. Cuma mungkin orang ‘spin’. Yang saya sebut pasal buli ialah cerita Pas dengan Umno. Pas sejak dulu lagi dibuli oleh Umno. Sampai sekarang, isu Kelantan misalnya yang kita sentiasa bangkitkan tapi kita sentiasa ditekan dan dizalimi parti pemerintah.

Cuma apabila timbul isu Selangor, maka saya sebut isu kebelakangan ini. Saya tengok rakan-rakan sendiri sudah mula tujukan kesalahan ini kepada Pas yang pada asasnya tidak benar. Saya sebut dengan jelas, DAP dan kawan-kawan dalam PR jangan jadi macam Umno.

Ertinya isu buli ini bukan isu lama, isu baru. Maknanya, hubungan (Pas dengan PKR dan DAP) sebelum ini dalam PR adalah baik. Dan isu Selangor ini, kita sudah memerintah selama sepenggal dan nak masuk penggal yang kedua adalah baik.

Maknanya, Pas telah menyatakan untuk menyokong kerajaan PKR bersama DAP,  sehinggalah isu Langkah Kajang berlaku. Langkah Kajang inilah yang merosakkan hubungan kita. Dan, kita (Pas) berpendirian bahawa kita ini benar.

Pas sudah betul membuat pendirian. Tapi kerana isu ini dipanjangkan, dibina satu persepsi bahawa Pas telah melakukan kesalahan, melanggar setiakawan dalam PR. Walhal yang saya nak sebut ialah, konsensus asal konvensyen PR ialah apabila tiga parti bersetuju, baru kita boleh ‘move’.

Tapi, apabila salah satu parti tak setuju, sebarang projek yang hendak dilakukan tak boleh dibuat kecualilah atas kehendaknya sendiri. Tak bolehlah kita minta kawan kita yang tak setuju ini masuk sama.Maksudnya, mesti konsensus?

Ya. Mestilah mengikut konsensus, barulah boleh jalan satu program yang dirancang dalam PR. Contoh tahun lepas, isu hudud. Awal tahun, isu hudud, kita nak bawa hukum hudud di Parlimen. Tapi, DAP tidak setuju. Kita tidak salahkan DAP, rakan kita.

Memang hak dia untuk tidak bersetuju. Cuma, kita berbahas soal mengapa kita nak bawa. Itu sahaja. Kita tidak kata DAP khianat kerana dia berhak untuk tidak bersetuju soal hudud. Kita nak bawa juga dan kita tidak kacau DAP. DAP tidak setuju dalam Parlimen. Itu bukan khianat kerana hak dia untuk tidak bersetuju.

So, Pas akan cari cara lain. Kita tekankan kewajipan semua MP yang beragama Islam, dari sudut agama mestilah menyokong hudud. Kemudian, kita tekankan hak demokrasi bahawa hudud boleh dijalankan  di Kelantan jika mendapat sokongan majoriti. Itu sistem demokrasi kita. Adapun DAP atau siapa-siapa tak nak sokong, kita tidak anggap mereka pengkhianat.

Begitu juga dengan ‘Langkah Kajang’, Pas telah nyatakan awal-awal yang kita tidak bersetuju. Jadi, asasnya nak bawa juga ‘Langkah Kajang’, boleh tapi jangan kata Pas khianat kerana Pas tak bersetuju. Itu sahaja. Hormati. Itu sikap kita dari awal. Dia nak tukar MB, kita kata kita tak setuju. Maka, ia tidak boleh dikatakan ‘Langkah PR’.

Ia hanya Langkah PKR. Kalau DAP setuju, maka, kedua-dualah. Kita tarik diri. Itu hak kita sebagaimana DAP tarik diri daripada isu hudud. Tapi, mengapa apabila terjejas, dicuri Adun kita (Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin).

Jadi, siapa yang mulakan sikap tidak setiakawan itu? Bukan kita (Pas). Apabila mereka mencuri dalam kalangan Pakatan, maksudnya  khianat. Adun sendiri khianat dan kawan-kawan dalam Pakatan juga telah mengkhianati semangat setiakawan. Jadi, punca isu Selangor bukanlah daripada Pas. Itulah saya tuntut perlu menghormati apa yang telah kita bina iaitu konvensyen bahawa tiga tidak setuju, maka, kita tidak boleh tuduh siapa-siapa. Itu saya maksudkan isu Selangor.

Apa-apa (pandangan) yang YB lontarkan melalui media sosial ataupun kenyataan akhbar sering dikaitkan dengan Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat). Jadi, orang anggap pandangan YB adalah juga pandangan Tok Guru, malahan ada yang anggap Tok Guru sampaikan pandangan beliau yang kontroversi melalui YB. Macam mana YB hadapi keadaan ini sama ada daripada Tok Guru sendiri atau ahli Pas?

Itu pandangan masyarakat,  terutama yang berminat dengan politik. KPI saya mungkin diletak terlalu tinggi kerana ada kaitan dengan ayah saya. Apa-apa yang saya cakap ini, kena (mesti) macam Tok Guru. Itu saya serahkan kepada masyarakat.

Itu saya tak ada apa-apa. Saya dengan ayah saya, ada perkara yang saya bincang. Ada juga yang saya tidak bincang. Dan bukan syarat kena bincang dulu atau tidak bincang. Saya cara saya. Ayah saya ada pandangan dia.

Jadi, adakah tindakan ini memberi kesan atau jadi tekanan kepada YB sendiri?

Saya tidak ada tekanan. Sejak dahulu lagi daripada zaman Pemuda, selama berbelas tahun saya dalam Pemuda, saya sentiasa dikaitkan dengan isu-isu ini. Jadi, saya tidak kisah sama ada saya menang atau kalah dalam parti. Saya nak kritik apa pun, saya tidak pernah tanya ayah saya setuju atau tidak?

Kadang, ayah saya tanya dan saya jelaskan. Seingat saya, saya tidak pernah ditegur. Kadang-kadang, saya bagi pandangan dan dia beri pandangan yang berlainan. Banyak betul dialah sebab dia orang tua dan banyak pengalaman.

Saya ingat kalau saya kira daripada 10 pandangan kami yang berbeza, adalah dua, tiga saja yang saya betul. Baki lagi dialah yang betul. Saya tidak kisah dan dia juga tidak kisah kalau saya salah. Ada ketika, saya berbahas panjang, akhir sekali, dia cakap “Itu pandangan Abduh. Ayah ada pandangan ayah sendiri.”

Tapi, kita tengok kes sekarang, pada saya sepanjang boleh kata 20 tahun, hubungan Pas dan kedudukan Pas dalam Pakatan dengan parti-parti lain sejak era Angkatan Perpaduan Ummah, ini kita boleh nilai sebagai perpecahan yang paling teruk dalam Pas.

Bila ada dua pandangan yang berbeza, lebih-lebih lagi apabila dalam muktamar baru-baru ini, Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sendiri bercakap secara terbuka dan terang-terangan mengenai hubungan dengan PKR dan DAP, kita dapat lihat  Timbalan Presiden (Mohamad Sabu) beri kenyataan yang berbeza. Dan, dia (Mat Sabu) ada kumpulannya sendiri. Dalam keadaan ini, macam mana YB melihat masa depan Pas dan kedudukan semasa Pas?

Pas sentiasa ada masa depan. Selagi mana Pas pegang perjuangan asalnya iaitu menegakkan syariat Islam,  keyakinan ahli Pas adalah terlalu tinggi. Saya yakin bahawa Pas ada masa depan. Ada dua isu,  yang pertama, isu dengan PR dan yang kedua, isu dalaman dan kedua-dua isu  saling berkaitan.

Dalam isu PR, akhir sekali, kita ada dua pandangan dalam parti. Sebenarnya, isu dalaman perkara biasa bagi sesebuah parti politik. Perbezaan pandangan ini saya sudah kesan lama. Saya anggap ia adalah satu benda yang positif.

Maknanya, ahli Pas diminta untuk berfikir mengenai perjuangan. Kami sentiasa berwacana sama ada dalam mesyuarat atau dalam forum biasa. Dan tidak pelik, kalau Pas lahir lebih daripada dua pendapat. Seperti pernah dibincangkan dalam isu yang kadang-kadang benar atau tidak benar seperti isu pertembungan profesional dengan ulama, bagaimana ia dibawa tetapi akhirnya berjaya diredakan. Jadi, isu ini kita berjaya simpan.

Kita harap ia kekal positif. Cuma, apabila kita masuk dalam PR, ia menjadi satu pakatan yang besar. Sebelum ini, Pas sudah masuk tahaluf, persefahaman politik dengan parti-parti pembangkang sebelum ini. Kita berjaya cuma terhenti. Terhenti itu bukan bermakna kita gagal. Kita telah sampai tahap kejayaan yang itu sahaja dalam masa itu. Untuk PR ini, adakah sampai ke kemuncak?

Saya kata belum lagi. Kami dalam PR masing-masing mengimpikan satu hubungan yang lebih baik kerana ia telah menggembirakan rakyat Malaysia. Hubungan ini telah menjadi alternatif kepada BN bahawa ada satu keharmonian di peringkat pembangkang yang menggembirakan rakyat Malaysia.

Jadi, hubungan ini kita harus teruskan. Cuma, bagaimana kita harus membina hubungan yang lebih baik. Sebab itu, saya post terbaru, semalam. Saya kata, kita dalam tahap membina Malaysia apabila rakyat mahu mengubah selera mereka kepada PR. Bagaimana hendak membina Malaysia? Malaysia tidak boleh dibina dengan perasaan benci. Apabila kita runtuhkan BN, mestilah kita runtuhkan mereka atas sebab kita benci korupsi, rasuah dan sebagainya.

Tapi, apakah rasa benci itu terbina dengan sendiri. Tidak. Kita perlu bina atas dasar cintakan negara. Bagaimana hendak cintakan negara. Kita hadiahkan sesuatu yang paling tulus dalam diri kita iaitu kita cintakan kebenaran. Apa yang benar, kita taat dan hormatinya. Ini mesti dibina awal dalam PR. Jadi, isu Selangor ini baru. Kes Selangor ini menjadi peluang bagi saya untuk saya sebut apa yang saya inginkan bahawa perlu ada satu sikap penghormatan yang lebih mendalam dalam hubungan sesama kita.

DAP kita hormati perjuangannya. Pas kena hormat. Walaupun kita dilihat berbeza, Umno pukul bahagian inilah. Pas dan DAP tidak akan bertemu. Nasib baik, PKR sebagai jambatan. Itulah yang Umno pukul.

Tapi, kita yakin, kalau kita betul-betul tulus tidak menuduh perkara yang tidak benar, kita mampu untuk ambil alih tempat Umno dan mampu bina negara dengan lebih baik seperti mana kita ucapkan dengan lidah. Kita harus benarkan ia di dalam hati.

Tiada ulasan: