MALAYSIAKINI
MIC akan menerima keputusan siasatan Pertubuhan Pendaftar (ROS)
berhubung dakwaan segelintir anggota parti yang mendakwa wujud salah
laku dan penyalahgunaan kuasa semasa pemilihan parti tahun lepas, kata
Presidennya Datuk Seri G Palanivel.
Beliau berkata ini termasuk mengadakan semula pemilihan parti bagi menggantikan pemilihan di Melaka pada 30 November 2013.
"Ia terpulang kepada ROS, mereka yang sedang menyiasat kes itu. Jadi ROS
akan putuskan sama ada perlunya pemilihan parti atau tidak. Kita (MIC)
akan ikut keputusan mereka," katanya dalam sidang media selepas
mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu, di
ibu pejabat MIC, di ibunegara semalam.
Bekas Ketua Pemuda MIC, Datuk T. Mohan beserta anggota MIC dilaporkan
telah mengemukakan aduan rasmi kepada ROS pada 10 Januari lalu dengan
memberi sebab mengapa pemilihan semula perlu diadakan.
Sebelum itu, Mohan juga telah mengemukakan memorandum kepada Timbalan
Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dengan mendakwa berlaku
penipuan dan penyalahgunaan kuasa dalam pemilihan pucuk pimpinan
tertinggi parti.
Pemilihan MIC tahun lalu telah menyaksikan pertandingan lapan pemimpin
kanan bagi merebut tiga jawatan naib presiden, manakala 88 calon merebut
23 kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) termasuk dua calon wanita.
Seramai 1,452 perwakilan terlibat dalam pemilihan itu untuk memilih barisan kepimpinan MIC baru bagi penggal 2013-2016.
Baru-baru ini Mohan juga mendakwa bahawa ROS sudah menamatkan
siasatannya terhadap dakwaan salah laku dalam pemilihan MIC itu dan
penemuan siasatan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu Palanivel yang juga menteri sumber asli dan alam sekitar
mahukan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC menguatkan sayap
masing-masing dengan menumpukan terhadap isu ekonomi, pendidikan,
pertanian, sekaligus memastikan anggotanya didaftarkan sebagai pengundi
berdaftar.
Palanivel juga menegaskan, selepas ini hanya kuil yang mengemukakan
laporan kewangan lengkap akan diberikan peruntukan dan beliau mendakwa
kebanyakan kuil gagal berbuat demikian. Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan