MALAYSIAKINI
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kesal dengan tindakan segelintir
peserta yang sengaja memeluk dan mencium anjing dalam acara 'Saya Mahu
Sentuh Anjing' di Petaling Jaya, Ahad lalu.
Pengerusi MAIS, Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, perlakuan tersebut
bertentangan dengan hukum syarak dan bertentangan dengan tujuan sebenar
acara berkenaan, sepertimana yang diluluskan.
“Perlakuan
memegang, memeluk dan mencium anjing oleh orang Islam dengan sengaja
seperti yang berlaku pada hari tersebut amatlah dikesali kerana
perlakuan tersebut bertentangan dengan hukum syarak.
“Ini juga tidak sama sepertimana yang digambarkan oleh penganjur serta
tidak menepati objektif program seperti yang disebut dalam surat
permohonan penganjur,” kata Mohamad Adzib dalam kenyataanya.
Beliau mengulas kontroversi yang timbul apabila gambar hadirin beragama
Islam merangkul, mengusap dan bermesra dengan anjing pada majlis itu
dimuat naik di laman sosial.
Jelasnya, surat permohonan penganjur sebaliknya menggariskan tujuan
untuk memberi kefahaman atau hukum berkaitan kedudukan anjing dari sudut
Islam.
Selain itu, penganjur juga ingin mendidik peserta mengenai kaedah
penyucian dan juga keperluan untuk menyelamatkan anjing dalam situasi
darurat, kata Mohamad Adzib.
“Objektif yang digariskan oleh penganjur dalam surat bertarikh 3 Oktober
2014 adalah untuk memberi persepsi sebenar kepada umat Islam tentang
keperluan untuk menyelamatkan anjing dalam situasi kecemasan seperti
kesakitan atau terbiar.
“(Seterusnya,
ia menggariskan) keadaan bagaimana yang mengharuskan orang Islam
menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan, kaedah yang betul untuk
memegang dan mengendalikan anjing, kaedah menyamak apabila ada berlaku
sentuhan dalam keadaan lembap dengan anjing dan kaedah sertu dan
penggunaan sabun yang dibuat dari tanah liat bagi tujuan penyucian.”
Mohd Adzib juga menjelaskan bahawa Jabatan Mufti Selangor mengeluarkan
panduan yang menegaskan bahawa anjing tetap haram disentuh dalam keadaan
basah.
"Walaupun anjing banyak memberi manfaat kepada manusia, tetapi Allah
mengharamkan kita menyentuhnya dengan keadaan kita basah dan dia kering
atau sebaliknya.
"Persentuhan ini dianggap sebagai najis berat (mughallazah). Tetapi jika kedua-duanya kering tidaklah dianggap najis.
"Oleh itu jika ingin menjadikan anjing sebagai penjaga rumah atau untuk
berburu, ia hendaklah ditambat di luar rumah untuk mengelakkan kita
terlibat dengan najisnya," kenyataan itu dipetik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan