Khamis, 9 Oktober 2014

Lelaki ditahan rempuh anggota polis

MALAYSIAKINI


Polis menahan seorang pemandu kerana merempuh motosikal seorang anggota yang sedang bertugas di Bukit Goh petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz berkata, dalam kejadian jam 3 petang itu anggota terbabit cedera di kaki dan leher dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.
  
"Kejadian berlaku semasa anggota polis berkenaan hendak menahan kereta dipandu suspek berusia 26 tahun itu untuk tujuan pemeriksaan setelah didapati berada dalam keadaaan mencurigakan.
  
"Mangsa bersama beberapa lagi anggota polis telah mengejar kenderaan itu sehingga ke jalan mati.
  
"Keadaan itu menyebabkan suspek terperangkap dan ketika membuat pusingan U dalam usaha untuk melepaskan diri, dia telah merempuh motosikal yang dinaiki anggota polis berkenaan dan melarikan diri," katanya ketika dihubungi di Kuantan.

Bagaimanapun, katanya hasil maklumat dan risikan, suspek yang berasal dari Pekan berjaya ditahan di kawasan Bukit Goh kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Saga yang dipandu suspek menggunakan nombor pendaftaran berbeza di bahagian hadapan dan belakang.
  
"Polis percaya nombor pendaftaran kereta itu palsu dan berkemungkinan kenderaan itu adalah kereta curi namun siasatan sedang dijalankan," katanya.
  
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan dia kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk siasatan lanjut.

- Bernama

Tiada ulasan: